MALAYSIA PUNYA KELOMPOK ISLAM PALING KUAT LAM DUNIA. KELOMPOK MENGHUKUM... DAKWAH BERJALAN ATAU TIDAK?


 Nik Hasyudeen


Ramai mana musuh menjadi tokoh Islam selepas pembukaan kota Makkah


Saya menjadikan peristiwa yang berlaku di dalam bulan Ramadhan tahun ke 8 hijrah ini sebagai satu panduan berkenaan pemikiran strategik dan juga konsep ihsan yang ada dalam agama ini. Tentunya ada yang berpandangan berbeza tetapi peristiwa ini memandu saya di dalam kehidupan.


Apabila Quraisy menyerang sekutu umat Islam, Bani Khuza’ah, mereka telah melanggar perjanjian Hudaibiyah. Ini memberikan alasan bagi Rasulullah SAW bersama kira-kira 10,000 tentera Islam untuk menyerang Quraisy di Makkah.


Kita semua tentunya sudah arif akan peristiwa ini. Tidak ada peperangan yang berlaku dan umat Islam telah dapat menguasai Makkah tanpa pertumpahan darah.


Di dalam khutbah di hadapan Ka’abah, Rasulullah SAW telah mengampunkan masyarakat Quraisy yang selama ini menjadi musuh Islam. Ini merupakan satu kejutan kerana pihak Quraisy tahu mereka bukannya sekadar menghina Allah dan Islam tetapi telah memerangi umat Islam. Mereka sudah bersedia untuk dihukum kerana itulah amalan mereka di ketika jahiliyyah. Tak boleh kasi peluang kepada musuh.


Elok saya ingatkan bahawa sebelum pembukaan Makkah, pihak Quraisy telah, antara lain:


1. Menyiksa dan membunuh para sahabat yang awal seperti Sumayyah dan suaminya Yassir. Rasulullah SAW berada di kedudukan yang lemah dan hanya mampu menyuruh mereka bersabar dan menjanjikan mereka syurga


2. Menghina Rasulullah SAW seperti meletakkan perut unta di atas kepada baginda di ketika baginda bersolat


3. Membuat perjanjian yang berat sebelah sehingga ada orang Islam yang berjaya melepskan diri selepas perjanjian Hudaibiyah kena dihantar pulang ke Makkah walaupun dia merayu-rayu dengan penuh harapan


4. Berperang dengan umat Islam seperti di dalam peperangan Badar, Uhud dan Khandak. Berapa ramai orang Islam yang dibunuh Quraisy termasuk bapa saudara Nabi, Hamzah bin Abdul Mutallib yang amat disayangi oleh Nabi


Misi Nabi ialah untuk menyebarkan iman dan menyelamatkan manusia dari api neraka. Iblis pula berusaha sebaliknya, mahu membawa seramai mungkin anak-anak Adam ke neraka. Peristiwa ini dan juga harapan Nabi agar zuriat orang-orang Taif yang mencederakan baginda untuk beriman di masa hadapan merupakan contoh pemikiran strategik dan kesetiaan kepada misi yang tidak boleh ditandingi oleh sesiapa pun.


Di dalam peperangan Uhud, pihak Quraisy dipecahkan kepada 3 ketumbukan yang masing-masing dipimpin oleh Khalid al Walid, Abu Suffian dan Ikrimah bin Abu Jahal. Di ketika Fathul Makkah ini, Khalid sudah beriman. Rasulullah SAW meraikan Abu Suffian sebagai pembesar Makkah dan mengisytiharkan sesiapa yang berlidung di rumah Abu Suffian akan selamat. Kita kena ingat isteri Abu Suffianlah yang menjadi tokoh konspirator yang mengulah Wasyi untuk membunuh Hamzah.


Pada awalnya Ikrimah menolak Islam dan melarikan diri dari Makkah. Dia telah dimasukkan ke dalam senarai yang jika kita guna istilah cowboy, “wanted, dead or alive”. Dipendekkan cerita, akhirnya dia memeluk Islam dan menjadi seorang sahabat Nabi yang hebat dan syahid di dalam peperangan Yarmuk di dalam satu episod yang amat menyayat hati.


Pemikiran strategik dan ihsan yang dipemirkan oleh Rasulullah SAW di dalam pembukaan Makkah kena menjadi tauladan kita semua. Di dalam kemenangan baginda beristighfar, bukannya marah-marah dan nak membalas dendam.


Misi menyebarkan iman dan membebaskan manusia dari api neraka ini sekarang diwarisi oleh kita. Jadi, kita kena berfikir panjang dan mempamirkan adab yang paling mulia untuk menarik orang lain kepada agama kita.


Tentunya kita pernah dengar “orang yang belum beriman tidak membaca Al Quran dan mentelaah hadis, mereka memerhatikan kita sebagai mewakili agama yang mulia ini”. Jadi, adalah setiap tindakan kita selari dengan misi Rasulullah dan perangai sebagai wakil agama?



No comments: