TVET wujudkan sinergi swasta, tambah peluang pekerjaan - PM





 Oleh: Abdullah Zaid


Dasar transisi tenaga dan digital negara yang memerlukan kemahiran rakyat perlu diperkukuhkan melalui latihan industri berskil tinggi.


Oleh itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar diwujudkan sinergi di antara sektor swasta dan Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memperkasakan ikhtiar itu.


Jelasnya, sebanyak 40 pusat latihan TVET telah mula mengadakan kerjasama dengan syarikat gergasi untuk meningkatkan kualiti bidang kemahiran yang diperlukan pihak industri.


"Walaupun ada kebimbangan pihak tertentu yang melihat seolah-olah TVET diserahkan kepada swasta tetapi ia membantu TVET bagi memenuhi keperluan industri.


"Maknanya keperluan (lepasan TVET) memenuhi keperluan (industri) untuk beberapa tahun akan datang.


"Setakat ini, ada 40 TVET terlibat dengan kerjasama dengan syarikat besar dan ia akan membantu pengisian kokurilum dalam latihan TVET istu sendiri," katanya.


Beliau berkata demikian dalam Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri dan Tokoh Anugerah Mahir 2023 di Shah Alam Convention Centre (SACC), hari ini.


Jelas PM, dalam siri pertemuan dan mesyuarat sepanjang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) diadakan selama empat hari baru baru ini, beliau sempat mengadakan perbincangan bersama para pelabur asing untuk membuka peluang perniagaan di Malaysia.


Hal hal berkaitan teknologi, katanya, mengisi perbincangan tersebut yang mana memperlihatkan kepercayaan pelabur asing terhadap tenaga kerja mahir dan separuh mahir yang dihasilkan negara.


"Selain mesyuarat APEC (baru baru ini), saya juga menggunakan ruang bersama Menteri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz dan Menteri Luar (Datuk Seri Zambry Abdul Kadir) untuk menemui syarikat gergasi yang lain.


"Antaranya wakil Facebook, Google, Tiktok dan Elon Musk untuk mengajak mereka supaya datang ke sini untuk memenuhi keperluan anak-anak (graduan).


"Ia bagi memastikan pelaburan baharu selain memberi ruang latihan dan perindustrian, (graduan) TVET akan mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik," ujar PM lagi.


Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Sumber Manusia V Sivakumar, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Dr Zulkapli Mohamed.


No comments: