Wanita KEADILAN gerakkan jentera di PRK Pulai, Simpang Jeram







 Oleh: Noraini Nordin


ANALISIS: Esok, Sabtu akan berlangsung hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, Johor.


Sebaik penamaan calon berakhir pagi esok, bermulalah gerak kerja kempen selama dua minggu, sebelum pengundian diadakan pada 9 September.


PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia pada 23 Julai lalu akibat pendarahan otak.


Bagi Wanita KEADILAN, walaupun yang bertanding di kedua-dua kerusi itu adalah calon daripada Amanah, tetapi gerak kerja kempen tidak berkurangan dan akan memberi bantuan sebaik mungkin bagi mencapai kemenangan.


Wanita KEADILAN Pusat dengan kerjasama Wanita KEADILAN Johor telah pun menurunkan petugas dan jenteranya di kedua-dua kawasan itu sejak lebih seminggu lalu.


Pada peringkat awal, gerak kerja yang dilakukan ialah melalukan tinjauan, beramah mesra dengan pengundi, mengenalpasti isu, merangka aturan kempen dan sebagainya.


Mesyurat Wanita KEADILAN yang diketuai oleh Ketua Wanita KEADILAN Johor Zuraidah Zainab Mohd Zain (kiri), Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat, Noraini Nordin (Tengah) dan Ketua Biro Pilihanraya Wanita Amanah Johor, Raudzah Ahmad

Wanita KEADILAN juga telah mengadakan beberapa siri diskusi bersama pemimpin Wanita Amanah (AWAN) untuk penyelarasan aktiviti kempen.


Tegas Wanita KEADILAN, matlamat yang menjadi keutamaan ialah memastikan kedua-dua kawasan itu kekal dalam genggaman Pakatan Harapan.


Untuk tujuan itu, walaupun PH sebagai penyandang di kedua-dua kerusi mungkin menyebabkan ada tanggapan yang mengatakan PH tidak perlu bekerja keras, namun Wanita KEADILAN Pusat di bawah pimpinan Fadhlina Sidek tidak pernah bersikap ambil mudah.


Malah, kerja-kerja kempen akan diperhebat serta dimantapkan lagi sebaiknya saja selepas hari penamaan calon esok.


Selain ingin memastikan kemenangan terus dapat digenggam, kemenangan di Pulai dan Simpang Jeram, bagi Wanita KEADILAN adalah mustahak dipertahankan sebagai mesej kepada rakyat bahawa Kerajaan Perpaduan ini wajar perkukuh dan dikekalkan dengan sedaya upaya kudrat yang ada.

No comments: