Komunisme rampas harta peribadi untuk bela rakyat miskin, kata Hadi dalam siri poster #TolakDAP
PETALING JAYA: Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, menghangatkan suasana ketika negara bersiap-sedia untuk PRU15, dengan berkongsi beberapa poster di Twitter menyeru rakyat menolak DAP dan komunisme.
Poster pertama tertera “#TolakDAP” dan “Pro-Komunis”, serta memaparkan Hadi berserban dengan jari terangkat, berlatarkan lambang sabit dan tukul merah.
Menjelaskan betapa bahayanya komunis, Hadi berkongsi satu lagi poster “Teori Ekstrem Komunisme”, yang menulis “Membela rakyat miskin sehingga merampas dan memiliknegarakan harta peribadi”.
“Komunisme ialah fahaman sekular yang menolak kepercayaan kepada Tuhan,” kata Hadi memulakan catatannya.
“Mereka mengganas lebih melampau daripada penjajah yang beragama Kristian dan Yahudi.”
Katanya, fahaman komunisme lebih bahaya daripada tentera penjajah kerana ia menjajah pemikiran dan membunuh akidah.
“Sebarang usaha untuk mengangkat atau membenihkan semula ideologi komunisme di tanah air kita seperti mana yang pernah dilaksanakan oleh DAP sebelum ini hendaklah dicegah dan ditentang habis-habisan,” tegasnya.
Sebelum ini, bekas pemimpin Parti Komunis Malaya, Abdullah CD, dalam wawancanan Malaysiakini pada 2019 mentertawakan persepsi yang menyamakan DAP dengan komunis.
Katanya, DAP merupakan pecahan Parti Tindakan Rakyat yang “terkenal sangat anti-komunis”.