ANWAR BERTANDING DI TAMBUN: Banyak ketua UMNO bahagian tolak bertanding PRU-15, kata MB Perak

 

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mendedahkan terdapat beberapa Ketua UMNO Bahagian dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menolak untuk dicalonkan mewakili BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Namun Saarani yang juga Pengerusi BN Perak enggan mendedahkan siapa yang dimaksudkannya.

“Ada tetapi tidak boleh umum siapa mereka sebab saya tidak mahu ia menjadi kelam-kabut.

“Ada beberapa Ketua UMNO Bahagian, ADUN pun ada tetapi saya tidak boleh umum sekarang,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Briged Sukarelawan Banjir UMNO Perak di Bangunan UMNO negeri, di Ipoh semalam (19 Oktober 2022), lapor Utusan Malaysia.

Semalam, Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad mengumumkan keputusannya menolak sebarang pencalonan sebagai calon pada pilihan raya kali ini.

Menurut Azhar yang juga Pengerusi BN Parlimen Beruas, keputusan yang disifatkan sebagai berjiwa besar itu dibuat bagi memberi peluang kepada muka baharu bertanding pada PRU kali ini.

“Keputusan ini dibuat setelah menimbang sehalus-halusnya dan berfikir semasak-masaknya. Saya nak memudahkan pimpinan untuk meletakkan calon muka baharu pada PRU-15.

“Saya tak mahu ada perebutan dan perpecahan. Biarlah pimpinan tentukan calon yang boleh menang bertanding di DUN Pengkalan Baharu ini,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat UMNO Bahagian Beruas.

Beliau turut menyeru rakan-rakan sejawatannya yang lain agar dapat berbuat keputusan sama sepertinya bagi memudahkan pimpinan memilih calon pada PRU-15 sekali gus membuka ruang melahirkan lebih ramai pemimpin UMNO.