Kenyataan Media 19 Oktober 2022

 Kenyataan Media

19 Oktober 2022

 

Saya mengalu-alukan keputusan Perdana Menteri dan Menteri Luar Australia yang bertindak untuk tidak mengiktiraf Jerusalem atau Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, lantas mengekalkan pejabat kedutaan mereka di Tel Aviv. Keputusan untuk mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu kota Israel itu dipelopori oleh mantan Perdana Menteri Australia bagi menuruti gelombang dukungan dan tuntutan kaum Zionis untuk ketidakseimbangan yang lebih besar dalam intrik diplomatik yang kita semua maklum dipicu oleh Amerika Syarikat dan sekutu mereka di Eropah. 


Langkah atau keputusan tersebut mencerminkan pengabaian yang jelas terhadap undang-undang antarabangsa serta penghinaan yang maha dahsyat kepada perjuangan warga Palestin. Tanpa mengambilkira pandangan sesiapapun mengenai penderitaan warga Palestin, Kota Jerusalem atau Baitulmaqdis yang menjadi kota suci kepada tiga agama Islam, Kristian dan Judaisme, harus kekal menjadi wilayah yang neutral sehingga penyelesaian yang adil kepada konflik tersebut ditemukan di Palestin. 

 

Saya amat berharap keputusan Australia ini akan mendorong gelombang baharu untuk kembali mendukung hukum antarabangsa dan keadilan. Ketidakadilan mesti disanggah, dan kita harus bersama sebagai sebahagian dari komuniti antarabangsa untuk melawan hukum apartheid di Palestin dan mengembalikan maruah rakyat Palestin. Saya menggesa tetangga kita di peringkat antarabangsa untuk melakukan yang sama sebagai komitmen kita kepada keadilan. 


ANWAR IBRAHIM