Selangor bukan sahaja kaya tetapi beri 85,000 lot tanah kepada rakyat

 




Selangor di bawah Pakatan Harapan (PH) sebelum ini dikenali sebagai negeri yang paling banyak memperkenalkan skim bantuan kepada rakyat sehingga menjadi ikutan Kerajaan Persekutuan.


Namun menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Kerajaan PH juga sejak 2008 telah memberi lebih 80,000 lot tanah kepada rakyat di negeri itu.


Hal itu didedahkan beliau dalam ceramah Jelajah Pakatan Harapan Pahang di Mentakab, malam tadi.


"Saya dengar masalah tanah di negeri Pahang tak sudah sudah, orang duduk lama tak dapat tanah, tak dapat geran.


"Ini janji kita di negeri Selangor, tahun 2008 dulu kita sebut kalau kita menang yang masuk tanah kerajaan, duduk bertahun tahun, orang miskin perlu tanah, hanya bayar RM1,000 dapat tinggal di tanah itu selama mana mereka nak tinggal sampai anak cucu cicit. Umno kata ini lawak jenaka, tak boleh buat negeri akan bankrap.


"(Rekodnya) daripada tahun 2008 sampai minggu lepas kita dah selesaikan 85,000 keping tanah kepada rkayat negeri Selangor.


"Selangor ini (zaman BN) kata nak lebarkan kampung, panggil kontrakor sain dengan JKKK. Lepas sain lantik syarikat, syarikat ambil duit rakyat, rumah terbengkalai bukan satu dua. Antara terbesar di Sg Buaya ada 3,000 keping tak selesai.


"Tiga minggu lepas kita telah selesaikan (hak milik tanah) di Rasa. Saya nak beritahu orang Pahang, masalah Felda Sg Buaya kita berjaya selesaikan di bawah PH," katanya.


Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Pahang itu turut membidas pemimpin BN dan PN yang masih menganggap rakyat Selangor tidak mendapat apa apa di bawah PH.


Amirudin juga sinis terhadap pemimpin kanan Bersatu, Azmin Ali yang baru baru ini berkata Selangor merosot prestasinya selepas beliau meninggalkan kerusi MB.


"Kadang kadang orang yang lompat tak sedar diri. 2 - 3 hari lepas disebut saya (Azmin) tinggal negeri Selangor jatuh merosot. Siapa nama dia? Jangan sebut ..... geli aku dengar.


"Saya cakap dengan jelas dan terang. Bila kita lancar projek bangunkan Sungai Kelang, orang hebat ini (Azmin) satu benda dia tak buat


"Sungai Buaya ... bukan masalah baru tetapi tahun 1990an masa Muhamad Taib jadi MB. Kita cuba ubah tak boleh, sampailah 'MB yang bawa kemajuan negeri Selangor' tak boleh juga selesai. Tetapi PH, kerana polisi PH lah kita selesaikan isu ini," katanya.


Mencontohi Selangor, MB berkata, rakyat Pahang perlu berubah dalam Pilihan Raya Umum ke 15.


Sekali rakyat berubah, katanya maka pelbagai skim bantuan boleh diwujudkan.


"Saya minta orang Pahang jangan takut takut. Dalam masa beberapa minggu ini saya minta semua bantu kita, sokong kita.


"Kalau orang kata Pahang ini negeri terakhir berubah, kita kena buktikan mereka salah kerana saya yakin dengan semangat di Pahang, Kuantan, Temerloh, Mentakab, Bentong, Lipis, Rompin, inshaAllah boleh (berubah) di bawah PH dalam PRU akan datang," katanya lagi.