UMNO JUGA SATU2NYA PARTI KERAJAAN DI DUNIA YANG TIDAK SABAR DESAK BUBAR PARLIMEN…


 Berkatalah Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi yang barangkali resah dan gundah gulana masih bersarang di jiwanya, hanya pembangkang di Malaysia saja satu-satunya di dunia ini yang tidak mahu pilihan raya umum diadakan dengan segera.

“Saksikan pembangkang Malaysia barangkali satu-satunya pembangkang dalam dunia yang tidak mahu pilihan raya segera.

“Mereka menawarkan memorandum persefahaman (MoU) 2.0 kepada kerajaan demi memastikan PRU15 tidak diadakan dalam tempoh terdekat.

“Apakah UMNO/BN begitu naif perlu berkompromi dan membantu menjayakan strategi dan muslihat pembangkang yang mahu melengah-lengahkan masa?” soal beliau melalui tulisan di media sosialnya.

Kenapa Zahid Hamidi masih meluahkan perkara berkaitan PRU15 dan kali ini seperti cuba menyalahkan pembangkang pula?

Apakah beliau tidak yakin dan mula ragu-ragu dengan ketetapan yang telah dimuktamadkan oleh UMNO sendiri melalui PAU2021 minggu lalu?

Tetapi, kenapa kali ini pembangkang yang cuba dipersalahkan?

Tidakkah telah dipersetujui bahawa pimpinan “Top Five” UMNO akan berbincang dan memutuskan mengenai tarikh PRU15?

Dengan itu bermakna, kalau Top Five memutuskan cepat tarikh PRU15, maka cepatlah Parlimen akan dibubarkan.

Masih tidak yakinkah dengan ketetapan parti sendiri, tetapi kenapa blok pembangkang hendak dipersalahkan?

Begitu pun, jika Zahid Hamidi menyatakan hanya pembangkang di Malaysia saja satu-satunya di dunia ini yang tidak mahu pilihan raya diadakan segera, lalu menawarkan MOU 2.0 kepada kerajaan, apakah beliau tidak sedar tentang keadaan UMNO yang sedang dipimpinnya sekarang ini?

Sebagai parti yang sedang menguasai kerajaan dan tempoh penggal Parlimen pun masih panjang lagi, bukankah UMNO juga satu-satunya parti di dunia ini yang mahu pilihan raya dipercepatkan sehingga Perdana Menteri tidak henti-henti diberikan tekanan serta desakan?

Kenapa UMNO mahu pilihan raya dipercepatkan, walhal sebagai parti kerajaan, kebiasaaannya ialah mereka tidak tergesa-gesa mempercepatkan pembubaran Parlimen?

Cuba Zahid Hamidi berlaku jujur dan bercakap daripada hati, untuk apa sebenarnya beliau mahu PRU15 dipercepatkan dan mesti diadakan sebelum pemilihan UMNO? – ShahbudinHusin

 23/03/2022.