GURU 70 %- DAP JUGA YANG PERJUANGKAN ISU GURU.YB MELAYU DIMANA ?

 

Tak adil ‘lepas tangan’ isu graduan pendidikan, Ahli Parlimen beritahu KPM




Teo Nie Ching berkata, sekiranya Radzi Jidin enggan menjawab isu
 tersebut di Dewan Rakyat, beliau dan graduan pendidikan terlibat akan
 mempertimbangkan untuk menghantar memorandum kali kedua
 kepada Kementerian Pendidikan.

PETALING JAYA: Tidak adil sekiranya Kementerian Pendidikan (KPM) “lepas tangan” dalam isu status 200 graduan pendidikan tahun akhir yang digagalkan tanpa hitam putih walaupun lulus sesi temu duga, menurut Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching.

Beliau berkata, sekiranya Menteri Kanan Pendidikan, Radzi Jidin mengambil berat isu itu, KPM boleh membuat mesyuarat jabatan untuk memanggil Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan wakil graduan pendidikan tersebut bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.

“Tidak adil dan tidak sepatutnya KPM hanya lepas tangan dan hanya cakap minta SPP jawab. Masalahnya adalah SPP temu duga graduan pendidikan ini supaya mereka boleh jadi guru bawah KPM.

“Apa salahnya, kalau KPM ambil isu ini untuk buat mesyuarat jabatan supaya semua orang boleh duduk berbincang supaya satu penyelesaian dapat dicapai dan tak perlu buang masa yang akhirnya tidak ada orang jawab (isu tersebut),” katanya kepada FMT dalam satu perjumpaan secara maya bersama beberapa graduan yang terlibat malam tadi.

Sebelum ini, pegawai Radzi memberitahu FMT bahawa isu tersebut di bawah SPP, bukannya KPM. Pegawai tersebut berkata, SPP adalah pihak berkuasa yang melantik graduan pendidikan tersebut.

Pada 7 Mac lalu, Hartal Guru Ikhtisas, sekumpulan graduan guru ikhtisas pendidikan menuntut penjelasan KPM mengenai status 200 graduan pendidikan tahun akhir yang digagalkan tanpa hitam putih walaupun lulus sesi temu duga.

Presiden Graduan Ikhtisas Pendidikan (GIP), Fadhli Hassim mendakwa mereka digagalkan kerana tidak melengkapkan dokumen seperti surat senat, transkrip atau surat tamat belajar sedangkan kenyataan Radzi tahun lalu memaklumkan pelajar tahun akhir boleh memohon tawaran jawatan berkenaan.

Bagaimanapun, pada 11 Mac lepas, Timbalan Menteri Pendidikan Mohamad Alamin mengakui kelemahan yang berlaku itu adalah masalah sistem pengambilan, bukannya calon yang memohon.

Dalam pada itu, Teo yang juga bekas timbalan menteri pendidikan berkata, beliau akan berusaha bertanyakan isu tersebut di Dewan Rakyat yang akan berakhir Khamis ini.

Katanya, sekiranya Radzi enggan menjawab isu tersebut, beliau dan graduan pendidikan terlibat akan mempertimbangkan untuk menghantar memorandum kali kedua kepada Kementerian Pendidikan.

Memorandum pertama dihantar pada 7 Mac lalu menggesa KPM melihat isu tersebut. Bagaimanapun sehingga kini, pihak KPM dan SPP masih tidak memberi jawapan mengenai status graduan pendidikan yang terlibat itu.

Pada Jun tahun lalu, KPM berkata, ia akan membuat pengambilan khas guru secara “one-off” bagi mengisi kekosongan guru yang dihadapi di seluruh negara terutama di Sabah, Sarawak, Johor dan Selangor.

Radzi berkata, ia akan membabitkan pengambilan sejumlah 18,702 pegawai.

No comments: