AMK perlu diberi nafas baharu, tarik sokongan anak muda
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia mempunyai jenama yang unggul
pada waktu awal penubuhan parti dalam memperjuangkan pembebasan tokoh
Reformasi, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan institusi presiden.
Namun menurut aktiviti KEADILAN, Danish Hairudin, seiring
berjalannya waktu AMK mula kurang menyengat selepas parti berjaya menubuhkan
kerajaan pada Pilihan Raya Umum 2018 lalu.
Sehubungan itu, katanya, menjelang pemilihan parti kali ini AMK
perlulah diberi nafas baharu agar dilihat lebih segar dan merakyat.
"Persoalan asas AMK apakah peningkatan seterusnya setelah
berjaya membina satu imej yang hebat sejak zaman kegemilangan Pemuda Keadilan
pada awal penubuhan dahulu?
"Ketika itu, Pemuda Keadilan dan Angkatan Muda Keadilan
berada di saf paling hadapan membawa isu-isu rakyat serta kerakusan pentadbiran
pemimpin Barisan Nasional. AMK menjadi tunjang utama kepada KEADILAN membela
nasib rakyat dan sentiasa mempertahankan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pimpinan
utama parti yang diserang segenap penjuru oleh lawan.
"Atas kejayaan itu jugalah, AMK sekarang berada di
persimpangan, setelah berjaya membentuk imej sedemikian rupa, apakah bentuk
peningkatan yang seterusnya?" katanya
Menurut Danish, AMK kini tidak lagi dilihat sebagai sebuah
organisasi yang digeruni oleh lawan malah dilihat bercakaran sesama sendiri
serta semakin jauh dengan anak muda.
"Mengapa ini berlaku? Sudah pasti, kita perlu akui kelemahan
dan kegagalan organisasi AMK berfungsi dengan baik dan akhirnya memberi kesan
besar kepada pengaruh KEADILAN terhadap anak muda.
"Oleh itu, pemilihan KEADILAN kali ini perlu dijadikan titik
tolak kebangkitan AMK untuk memperbetul dan memperkemaskan organisasi bagi
mempersiapkan sebuah pasukan yang intek agar dapat menyokong intstitusi
presiden mendepani Pilihan Raya Umum kelak.
"AMK perlu dilihat sebagai “anak jantan” dalam mendepani
semua hal termasuklah membawa isu rakyat dan mepertahankan parti daripada
sebarang ancaman. Hal ini kerana jiwa pemuda mestilah sentiasa bersemangat dan
tidak gentar dengan risiko," katanya.
Menurut Danish lagi, tugas utama kempimpinan AMK kelak adalah
memastikan kesatuan dalam kalangan anggota di peringkat nasional mahupun di
peringkat negeri dan cabang.
Struktur organisasi juga perlu dimantapkan. AMK, katanya, harus
mempunyai barisan kepimpinan yang benar-benar mempunyai tekad dan kesungguhan
serta terbukti pencapaian gerak kerja membantu parti di setiap peringkat untuk
memastikan AMK kembali bernyawa dan mendapat tempat dalam kalangan anak muda
Malaysia.
"Saya percaya setiap daripada kita dapat memainkan peranan
yang besar dalam membina sebuah negara bangsa yang berjaya dan kembali ke
landasan yang sepatutnya sejajar dengan reformasi yang sering dilaungkan.
"KEADILAN satu-satunya parti berbilang kaum di Malaysia yang
membawa aspirasi setiap kaum di Malaysia tanpa menidakkan hak kaum lain yang
telah terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Manakala AMK akan bangkit dengan lebih hebat dan memastikan
KEADILAN kembali menjadi sebuah parti yang utuh dan intek di bawah kepimpinan
Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya lagi.