DAH LAMA DAH SEJAK KERAJAAN TEBUK ATAP NAIK...GURU DIPEDALAMAN PUN DIPOTONG ELAUNS RUMAH....

 

Kecoh di Twitter, guru terpaksa guna duit poket sendiri beli kertas A4




Guru terpaksa menggunakan wang gaji sendiri sejak sekian lama untuk
 menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka tidak seperti penjawat
 awam lain di negara ini, menurut presiden NUTP.

PETALING JAYA: Isu guru menggunakan duit poket sendiri untuk membeli kertas A4 bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran (PdP) sudah lama menjadi amalan dan tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berwajib.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, bukan hanya kertas A4, guru juga terpaksa menggunakan duit sendiri untuk banyak lagi perkara bagi jalankan tugas sebagai pendidik.

“Sememangnya guru-guru di negara kita banyak berkorban wang ringgit sendiri dalam memastikan tanggungjawab mereka dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

“Sebagai contoh, jika PDPR, guru-guna menggunakan data internet sendiri dan peralatan laptop sendiri. Belum dikira lagi jumlah wang yang dihabiskan guru-guru kelas untuk memastikan bilik darjah mereka selesa dan menepati kehendak pihak pentadbir,” katanya kepada FMT.

Aminuddin berkata, guru terpaksa menggunakan wang gaji sendiri sejak sekian lama untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka tidak seperti penjawat awam lain di negara ini.

“Kami tidak nampak profesion lain di negara kita yang kakitangannya terpaksa menggunakan wang poket sendiri untuk menjalankan tugasan rasmi melainkan guru-guru di sekolah.

“Dari sekecil kecil benda seperti kertas A4, peralatan menulis hinggalah perkara yang agak besar seperti katrij dakwat mesin pencetak (printer), mesin pencetak dan komputer riba sendiri,” katanya.

Aminuddin menambah, NUTP kesal pihak berwajib tidak mengambil berat isu terbabit dan atas sebab itu ia berlarutan sehingga hari ini.

“Sekolah tidak diberikan peruntukan kewangan yang mencukupi. Jadi perkara ini perlu diberi keutamaan oleh kerajaan”.

Seorang guru besar yang enggan dikenali memberitahu FMT, kertas A4 ibarat makanan ruji sekolah, namun kebanyakan sekolah mengalami kekangan kewangan untuk menyediakannya.

“Selalunya sekolah mohon sumbangan kertas A4 tanpa paksaan. Hanya untuk ibu bapa yang ikhlas menyumbang. Tiada paksaan,” katanya.

Ujarnya, pihak sekolah akan memasukkan usul meminta bantuan untuk membeli kertas A4 dalam usul Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) sebelum sesuatu kutipan dana dibuat.

“Jalan selamat adalah pihak sekolah perlu nyatakan usul dalam mesyuarat agung PIBG. Jika tiada bantahan ibu bapa, bolehlah pihak sekolah memohon sumbangan A4 tanpa paksaan,” jelasnya.

Menurut guru besar itu lagi, kebanyakan guru yang menggunakan duit poket sendiri untuk membeli barangan pengajaran dan pembelajaran tidak akan membuat tuntutan semula (claim) dan ia akan hangus begitu sahaja.

“Hangus sahaja (duit poket guru). (Lagi pun) jarang-jarang guru buat tuntutan semula. Selalunya kalau beli atas arahan guru besar, baru boleh tuntut semula,” katanya.

FMT juga mendapatkan maklum balas daripada seorang pengerusi PIBG sebuah sekolah di Lembah Klang, bersabit isu ini.

“Saya memang tegas bab dana PIBG. Setakat saya pegang jawatan YDP, saya belum pernah luluskan dana untuk beli kertas A4. Saya memang liat luluskan dana melibatkan perkara yang boleh diuruskan kerajaan.

“Jadi apa kita buat? Saya ajak AJK PIBG kutip duit sesama kami dan kami beli beberapa rim kertas A4 untuk disumbangkan kepada sekolah. Dana PIBG ini amanah ibu bapa. Jadi kegunaannya mesti dimanfaat untuk murid-murid sebaik mungkin.

“Sebenarnya tak salah pun guna dana PIBG sebab untuk murid-murid juga. Tapi itu tanggungjawab kerajaan. Bukan tanggungjawab ibu bapa,” katanya yang enggan dikenali.

Terdahulu, seorang pengguna Twitter @SyedAkramin membuat satu hantaran berkata: “Patutlah ramai guru ‘stress’, nak beli kertas A4 pun sekolah tak ada duit. Macam mana nak mengajar dengan baik kalau keperluan mengajar pun tak lengkap? Mungkin kereta Vellfire untuk menteri lebih penting berbanding pelajaran murid-murid.”

Hantaran itu mengundang respons dalam kalangan warganet dan ada yang mendedahkan bahawa ibu bapa diminta membayar RM10 setahun untuk urusan percetakan.