KETETAPAN PAU2021 AKHIRNYA TIDAK BERERTI APA-APA, MALAH BERCANGGAH PERLEMBAGAAN

 

Tidak sampai seminggu setelah berakhirnya PAU2021 yang meluluskan usul pemilihan parti hanya akan diadakan enam bulan selepas PRU15 dilangsungkan serta diikuti janji Ismail Sabri Yaakob untuk berbincang dengan “Top Five” UMNO untuk menetapkan tarikh pilihan raya, seorang ahli MT, Noh Omar menghuraikan lebih detail tentang peranan Perdana Menteri dalam soal pembubaran Parlimen.

Menurut beliau, Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa untuk membubarkan Parlimen, sebaliknya kuasa itu berada di tangan Yang DiPertuan Agong.

Noh yang juga Pengerusi UMNO Selangor berkata, banyak pihak tidak faham mengenai had kuasa Perdana Menteri sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan.

“Kita kena jelas bahawa dalam menentukan pembubaran Parlimen, ini termaktub dalam perlembagaan.

“Artikel 40 (menyebut) kuasa Kabinet untuk menasihati Yang DiPertuan Agong dan dalam artikel itu juga menyatakan kuasa mutlak Yang DiPertuan Agong untuk boleh tidak membubarkan Parlimen.

“Jangan salah faham, parti boleh buat cadangan, kabinet setuju untuk bubarkan (Parlimen), tapi ini adalah satu kuasa mutlak Agong,” katanya.

Dalam hal ini, Noh menjelaskan, UMNO sekadar boleh mencadangkan untuk membubarkan Parlimen, namun perbincangan sebenar ialah melalui kabinet.

“Kuasa lantik Kabinet, ya kuasa Perdana Menteri. Kita kadang-kadang lihat selama ini (bubar Parlimen) seolah-olah kuasa Perdana Menteri, ini hanyalah “by convention” tetapi perlembagaan jelas (menyatakan) ini kuasa kabinet, bukan kuasa Perdana Menteri.

“Perdana Menteri kena bawa dalam kabinet, (jika) kabinet setuju baru bawa kepada Yang Dipertuan Agong dan terpulang kepada baginda untuk bubar atau tidak,” tegasnya yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Memahami dan mengambil kira kenyataan Noh Omar ini, satu perkara yang jelas di sini ialah ini bermakna ketetapan PAU2021 baru-baru ini dengan sendirinya jadi tidak bermakna apa-apa sekarang ini.

UMNO sebenarnya langsung tidak relevan untuk dibawa dalam perbincangan mengenai penetapan tarikh pilihan raya kerana yang sepatutnya dilibatkan ialah kabinet.

Dengan kabinet dilibatkan untuk perbincangan mengenai tarikh pilihanraya, sebagaimana ia tertulis dalam perlembagaan, adakah sebahagian menteri daripada UMNO serta semua menteri daripada Pas dan Bersatu setuju PRU15 diadakan dengan segera dan lebih dulu sebelum pemilihan UMNO?

Atau mereka lebih setuju jika PRU15 diadakan pada tahun depan?

Nampaknya bukan saja ketetapan PAU2021 tidak lagi bermakna apa-apa, bahkan Zahid Hamidi, Najib Razak dan Mohamad Hasan juga dijangka akan terus “sakit kepala” dengan perkembangan ini.

Besar kemungkinan sekarang ini, hasrat mereka selama ini untuk mengawalkan PRU15 sebelum pemilihan UMNO tidak akan menjadi kenyataan dan hanya tinggal sebagai kenang-kenangan sebuah desakan kerana jelas apa yang dilakukan UMNO itu sama sekali tidak berperlembagaan.

Perlembagaan hanya menetapkan kabinet yang boleh membincangkan tarikh pilihan raya sebelum Perdana Menteri menasihati Yang Dipertuan Agong berkenaan dengannya.

Ismail Sabri sudah tentu lebih berpegang kepada perlembagaan berbanding desakan daripada UMNO. – ShahbudinHusin 23/03/2022.


No comments: