Pendidikan politik, demokrasi: ABIM sokong pendirian Sultan Perak




Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyokong titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang menegaskan bahawa anak muda perlu dibimbing dengan program literasi politik agar mereka mampu memahami erti dan amalan demokrasi yang sihat.



Menurut Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz, cadangan Sultan Nazrin itu amat dialu alukan. Katanya amat penting literasi tersebut untuk membina, memahami sistem kerajaan, sistem pentadbiran, proses pembentukan kerajaan dan elemen-elemen yang wajib dimiliki oleh pemimpin negara.



"ABIM komited membimbing generasi muda membina watak generasi masa hadapan dengan teras jati diri bersama nilai-nilai moral yang tinggi.



"Dalam proses ini ABIM menekankan kesetiaan kepada nilai dan maruah yang akan memimpin kita membina satu kefahaman dan identiti warga yang menolak amalan rasuah serta gejala perkauman sempit. Nilai ini adalah akar kepada keperibadian bangsa Malaysia yang bermaruah dan berintegriti.



"Dalam masa yang sama juga ABIM akan terus melakukan libat urus bersama pemegang-pemegang taruh lain dalam kalangan ahli politik muda dan warga belia, untuk membawa wacana politik segar yang menolak rasuah serta berorientasi khidmat kepada rakyat," katanya.



Selain itu, Faisal juga mencadangkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diberi tugas bagi melakukan pendidikan demokrasi kepada rakyat Malaysia.



"Dalam perkembangan berkaitan, untuk meratakan pendidikan demokrasi dalam kalangan generasi muda, ABIM mengusulkan SPR melalui Akademi SPR untuk bersama badan NGO anak muda bagi menggerakkan inisiatif ini," katanya lagi.