Selepas Dewan Rakyat, Najib cuba kelirukan Speaker pula, dakwa Pua

 

Kenyataan Najib adalah ‘absolute’ (tidak berasas) dan tidak
 menggambarkan bahawa beliau hanya merujuk kepada pembayaran
 balik prinsipal hutang ketika Pakatan Harapan memimpin kerajaan
 persekutuan, menurut Tony Pua. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Damansara Tony Pua mendakwa Najib Razak kini cuba mengelirukan Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun berhubung pembayaran balik prinsipal hutang 1MDB selepas didakwa mengelirukan Dewan Rakyat sebelum ini.

Pada Isnin, Azhar berkata, Najib telah mengemukakan penjelasannya berhubung isu terbabit dan satu salinannya juga dihantar kepada Pua untuk dijawab oleh Ahli Parlimen DAP itu.

Selepas itu katanya, beliau akan menentukan sama ada Najib telah mengelirukan Dewan Rakyat.

Dalam jawapannya menerusi surat yang dihantar ke pejabat Speaker semalam yang dikongsi bersama media oleh Pua hari ini, beliau berkata, Najib mengaku dalam penjelasannya bahawa prinsipal hutang 1MDB dibayar pada 2017 dan 2018 ketika menjadi menteri kewangan dan perdana menteri.

Namun Pua berkata, penjelasan Najib adalah “sesuatu yang difikirkan kemudian”, sementara kata-katanya di Dewan Rakyat ialah “pada hakikatnya satu sen pun prinsipal hutang 1MDB tidak pernah dibayar”.

Katanya, kenyataan Najib adalah “absolute” (tidak berasas) dan tidak menggambarkan bahawa beliau hanya merujuk kepada pembayaran balik prinsipal hutang ketika Pakatan Harapan (PH) memimpin kerajaan persekutuan.

Ahli Parlimen itu juga berkata, penjelasan bahawa pembayaran balik pada 2017 dan 2018 adalah hasil penjualan aset 1MDB juga palsu sama sekali, dengan memetik surat menteri kewangan kepada Azhar yang menyatakan bahawa pembayaran balik untuk dua tahun itu adalah melalui Kementerian Kewangan dan Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc).

“Secara jelas, YB Pekan telah menonjolkan niat beliau untuk mengelirukan Dewan Rakyat. Malah, YB Pekan telah menggandakan kesalahan beliau dengan percubaan untuk mengelirukan Tan Sri dalam penjelasan beliau kepadanya,” dakwa Pua.

Pua juga berkata, Najib gagal memberikan sebarang fakta untuk menyokong bagaimana beliau menyimpulkan bahawa 1MDB boleh menjimatkan sehingga RM50 bilion dengan mengambil alih syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP).

Sebaliknya, beliau mendakwa, penjelasan Najib yang memetik “fakta tidak berkaitan”, tidak ada hubungan dengan perkara itu.

Katanya, bekas perdana menteri itu tidak memberikan penjelasan bagaimana pengambilalihan tiga IPP swasta oleh 1MDB telah menyumbang kepada rizab tunai Petronas.

“Justeru, saya menegaskan bahawa YB Pekan telah gagal untuk memberikan sebarang penjelasan bagi menyokong dakwaan-dakwaan yang disebut dalam ucapan beliau di Dewan Rakyat pada 2 Mac. Malah, YB Pekan telah cuba lebih mengelirukan Tan Sri dengan maklumat tambahan yang palsu dan tidak berasas.

“Keengganannya untuk memohon maaf atau menarik balik dakwaan-dakwaan beliau yang jelas mengelirukan Dewan Rakyat menunjukkan secara jelas, niatnya untuk mengelirukan Dewan,” kata Pua yang menggesa Azhar supaya merujuk Najib kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana mengelirukan dan menghina Dewan Rakyat.


No comments: