DAP bercanggah pendapat mengenai perlunya lebih ramai pemimpin Melayu

 



Young Syefura Othman terpilih menganggotai CEC DAP baharu, namun pemimpin terkemuka seperti Abdul Aziz Bari dan Zairil Khir Johari tidak berjaya.

PETALING JAYA: Terdapat percanggahan besar antara kepimpinan DAP dan akar umbi mengenai perlunya lebih ramai pemimpin Melayu di peringkat atasan hierarki parti, menurut seorang penganalisis.

Felo kanan Akademi Nusantara Azmi Hassan berkata, keputusan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti pada Ahad yang menyaksikan hanya seorang daripada 10 calon Melayu dipilih boleh ditafsirkan bahawa ahli akar umbi tidak mengendahkan desakan pemimpin ke arah itu.

Beliau berkata, walaupun Young Syefura Othman menunjukkan prestasi meyakinkan dengan memenangi 981 undi, beberapa pemimpin Melayu terkenal seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi Abdul Aziz Bari di Perak dan ADUN Tanjong Bunga Pulau Pinang Zairil Khir Johari tidak terpilih.

“Ini adalah perkara yang perlu dibimbangkan oleh para pemimpin. Ya, Syefura dapat 981 undi walaupun calon Melayu lain meraih undi yang jauh lebih sedikit, tetapi kuota 30% yang ditetapkan untuk calon wanita mungkin membantunya.

Ads by Kiosked

“Ini memberi gambaran, sama ada tepat atau tidak, bahawa akar umbi parti pada umumnya tidak mesra calon Melayu. Persepsi ini hanya akan menjadi lebih buruk walaupun mereka melantik dua lagi pemimpin Melayu ke dalam badan pembuat keputusan tertinggi DAP,” katanya kepada FMT.

Dua pemimpin Melayu yang dilantik adalah Syahredzan Johan (ahli jawatankuasa) dan Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (timbalan setiausaha agung).

Azmi berkata, kepimpinan parti itu perlu mendidik akar umbi untuk menerima pemimpin Melayu bagi mengelak DAP terus dianggap sebagai parti anti-Melayu.

“Pesaing DAP telah cukup berjaya menggambarkan parti itu sebagai anti-Melayu dan bersifat cauvinis. Malangnya keputusan pemilihan CEC akan mengukuhkan persepsi seperti ini,” katanya.

Beliau percaya walaupun setelah veteran parti Lim Kit Siang bersara daripada politik dan Lim Guan Eng tidak lagi menjadi setiausaha agung, namun persepsi bahawa DAP adalah parti anti-Melayu mungkin akan berterusan.

“Walaupun DAP berusaha keras untuk mengubah (persepsi) ini, dengan barisan CEC baharu dan bilangan wakil rakyat Melayu yang rendah, ia akan menjadi kerja yang sukar,” katanya.

Ads by Kiosked

Bagaimanapun Azmi berkata, pemilihan Loke Siew Fook sebagai setiausaha agung memberi “gambaran baik”, kerana beliau secara umumnya lebih diterima oleh orang Melayu dan kelihatan sebagai pemimpin yang sederhana.

“Jika kita ingat semasa zaman pentadbiran Pakatan Harapan (PH), sebagai menteri pengangkutan, beliau bekerja keras dan dengan gaya sederhananya diterima oleh orang Melayu,” katanya.

Beliau berkata, masa semakin singkat untuk DAP menarik orang Melayu memandangkan pilihan raya umum (PRU) sudah tidak lama lagi.

“Ia sepatutnya meninggalkan wawasan ini buat masa ini dan membiarkan sekutunya PKR dan Amanah berusaha mendapatkan sokongan pengundi Melayu untuk calon DAP,” katanya.