Menjelang pemilihan PKR pada Mei ini, Rafizi Ramli yang akan bertanding jawatan timbalan presiden sedang membentuk sebuah pasukan merangkumi beberapa nama besar parti.
Menurut beberapa sumber daripada parti, ‘cai’ Rafizi menampilkan empat calon naib presiden, seorang ketua pemuda (AMK) negeri, ketua Wanita, timbalan AMK dan timbalan Wanita.
“Dua Naib Presiden Nurul Izzah Anwar dan Chang Lih Kang berada dalam pasukan Rafizi bagi jawatan naib presiden.
“Sementara, Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad dan timbalan ketua penerangan Manivanan Gowin merupakan dua lagi calon untuk empat jawatan naib presiden dipertandingkan semasa pemilihan parti.
“Bagi sayap Wanita, Adun Batu Tiga Rodziah Ismail diangkat sebagai calon ketua Wanita dan Ahli Dewan Negara Fadhlina Sidek untuk jawatan timbalan ketua Wanita.
“Sementara Ketua AMK Pulau Pinang Fahmi Zainol akan berganding dengan Adun Rawang Chua Wei Kiat masing-masing untuk jawatan ketua pemuda dan timbalan ketua pemuda,” katanya.