PH kalah teruk PRN Melaka: Jangan salahkan Anwar, kata Farhash

 PH kalah teruk PRN Melaka: Jangan salahkan Anwar, kata Farhash



KEKALAHAN Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri Melaka tidak boleh disalahkan sepenuhnya kepada Anwar Ibrahim, kata setiausaha politiknya Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Beliau membuat peringatan itu ketika ada suara dalam kalangan pemimpin dan penyokong PH yang mendesak Anwar berundur daripada menerajui PH dan digantikan pemimpin yang boleh memberi nafas baru.

“Pada hakikatnya kita mengakui bahawa Pakatan Harapan telah tewas dan mendapat keputusan yang tidak memberangsangkan pasca PRN Melaka baru-baru ini, namun kegagalan tersebut tidak wajar ditanggung oleh seorang individu sahaja,” kata Farhash dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga pengerusi PKR Perak mengingatkan semua keputusan PH untuk menghadapi PRN Melaka dibuat secara bersama dan mengambil maklum pandangan pimpinan tertinggi parti.

PH menang hanya lima kerusi pada PRN Melaka hujung minggu lalu, dengan PKR yang bertanding paling banyak kerusi bagi gabungan itu kalah semua 11 kerusi.

Lima kerusi yang dimenangi oleh PH ialah empat melalui DAP dan satu daripada Amanah, yang dimenangi bekas ketua menteri dan pengerusi PH Melaka Adly Zahari.

BN menang besar 21 daripada 28 kerusi DUN Melaka dan sekali lagi membentuk kerajaan di Melaka, selepas mengambil pentadbiran negeri daripada PH melalui percaturan politik Langkah Sheraton pada hujung Februari 2020.


No comments: