MCA, MIC dan Gerakan antara defendan kes sekolah vernakular

 


Oleh FAZLI RADZI / November 23, 2021

Tiga parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA, MIC dan Gerakan antara 12 pihak defendan dalam kes mahkamah berkaitan keabsahan dan kedudukan sekolah vernakular di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Aminuddin Yahaya berkata, hari ini merupakan hari pendengaran bagi kes tersebut di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Katanya, beliau sendiri sebagai salah seorang plaintif bagi pihak Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang merupakan wakil dari gabungan besar PEMBELA.

“Selain ISMA, yang dihantar sebagai ‘plaintif’ secara rasmi adalah Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA).

“Kita akan berhadapan dengan nama-nama besar dari parti MCA, MIC, GERAKAN, Dong Zong, Hua Zong, Kementerian Pendidikan Malaysia, Menteri Pendidikan dan beberapa lagi,” katanya dalam hantaran di Facebook pagi ini.

Menurutnya, pihak plaintif diwakili barisan peguam antaranya Haniff Khatri, Rahim Sinwan, Aidil Khalid, Khairul Azam (Buzze Azam) dan Datuk Zainul Rijal.

“Ini adalah usaha kita untuk mengubah negara ke arah sistem satu aliran melalui undang-undang tertinggi negara, iaitu Perlembagaan Persekutuan.

“Mohon doakan kami dan barisan peguam dalam kes ini, demi kemakmuran dan masa depan negara Malaysia yang tercinta,” tambah Aminuddin lagi.

 

No comments: