Peringatan KJ buat Umno


Di tengah-tengah keseronokan dan kebanggaan BN berikutan kemenangan bergaya di Melaka muncul Khairy Jamaluddin dengan “peringatan”. Bagi saya mesej “peringatan” itu boleh disimpulkan begini: “BN jangan terlalu teruja”. Mungkin saya salah. Tetapi mungkin juga betul. Hakikatnya “peringatan” Khairy memang logik.

Imbas kembali artikel saya semalam yang menghuraikan kemenangan di Melaka akan mendorong BN khususnya Umno mendesak PRU15 diadakan segera dan BN kemungkinan besar bertanding secara solo seperti yang dilakukan di Melaka.Ada pihak percaya formula Melaka akan diulang pada PRU15.

Bagi Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ, walaupun menang PRN Melaka, BN perlu lakukan kajian mendalam ke atas statistik khasnya mengambil kira 65% pengundi yang keluar memangkah kertas undi.

Khairy kata BN mesti terima kenyataan bahawa “hanya” 65% keluar mengundi dan 35% tidak. Dalam apa jua keputusan yang akan diambil kelak BN mesti fikirkan sama ada Melaka adalah gambaran atau “representation” tepat mengenai PRU15 atau tidak, kata Khairy.

Kalau boleh saya mencelah. Kebanyakan yang keluar mengundi di Melaka adalah pengundi tua di samping pengundi luar bandar yang secara tradisinya penyokong kuat Umno-BN. Menurut laporan ramai pengundi muda tidak mengundi kali ini. Ramai juga yang tinggal dan bekerja di luar Melaka tidak pulang mengundi kali ini.

Ini bukan untuk menafikan kecemerlangan BN di Melaka. Kemenangan tetap kemenangan.Berbalik kepada Khairy. Adakah kata-kata beliau boleh diibaratkan “pour cold water” atau kritikan ke atas kemenangan BN di Melaka? Atau “memperkecilkan” usaha dan kejayaan yang dikecapi?

Saya rasa tidak, berdasarkan kenyataannya bahawa BN telah membuktikan ia ada kekuatan akar umbi. Lantas Khairy mengucap tahniah kepada jentera BN di Melaka yang diketuai Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, dan juga Pengerusi Umno Melaka, Ab Rauf Yusoh, serta Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

Kemenangan BN di Melaka turut dilihat pemerhati, penganalis, pengamal politik, dan juga masyarakat umum sebagai kemenangan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, dan bekas presiden parti Najib Razak.

Tentu kita masih ingat Oktober lalu Najib membuat permohonan dan mendapat izin mahkamah supaya meminda tarikh pelepasan dan pemulangan pasportnya untuk membolehkan beliau membantu jentera parti di Melaka.

Sebelum itu Najib mendapat pasportnya buat sementara bagi membolehkannya menziarah anak perempuannya yang melahirkan anak di Singapura.

Najib memberitahu mahkamah beliau “terpaksa” menangguh perjalanan ke Singapura kerana diminta oleh Zahid “memastikan” Umno bertindak secara teratur pada PRN Melaka kerana Zahid ketika itu berada di luar negara mendapat rawatan bagi tulang belakangnya. Bagi penyokong Najib, itu pengorbanan beliau untuk parti.

Bagi Zahid pula, keputusan BN bertanding secara solo di Melaka tanpa bekerjasama dengan Perikatan Nasional dikatakan idea beliau. Dengan kemenangan cemerlang di Melaka keputusan dan ijtihad politik Majlis Tertinggi Umno (baca: Zahid) disifatkan “berbaloi dan tepat”, sekaligus memantapkan kedudukan sebagai Presiden Umno dan Pengerusi BN.

Kini ramai yang menjangka atau mahu BN-Umno bertindak secara solo juga pada PRU15.

Namun bagi Khairy, masih terlalu awal untuk memutuskan BN bertanding begitu pada PRU mendatang.

Itu sebabnya beliau mencadangkan kajian terperinci mengenai peratusan pengundi yang membuang undi di Melaka Sabtu dan semua faktor berkaitan diambil kira sebelum apa apa keputusan dibuat.

Adakah Khairy tidak mahu BN bertindak sendirian pada PRU15? Atau beliau “membayangkan cadangan” BN perlu menjalin kerjasama dengan Perikatan Nasional? Bagi golongan bukan penggemar Khairy, mungkin itu tuduhan yang akan dilemparkan. Hanya kerana beliau pernah duduk dalam Jemaah Menteri Muhyiddin Yassin, pengerusi PN, lantas dilihat pro-PN.

Beliau juga dikatakan tidak “sehaluan” dengan Zahid. Pada pemilihan Umno 2018, Khairy menentang Zahid untuk merebut jawatan presiden. Beliau tewas. Tengku Razaleigh Hamzah juga tewas.

Mungkin berlatar belakang itu semua ada yang “sangsi” akan “peringatan” Khairy semasa Umno-BN sedang mendabik dada hasil kemenangan di Melaka. Mungkin. Namun apa pun bagi saya apa yang dikatakan Khairy wajar dipertimbangkan Umno khususnya.

PN walaupun hanya memenangi dua kerusi di Melaka menerusi Bersatu menunjukkan mereka mampu mencabar BN termasuk di kawasan Melayu di luar bandar atau pedalaman. Maksudnya di sebalik menang besar kubu BN luar bandar mula goyah.

Memeranjatkan juga kejayaan PN di Sungai Udang dimana 42% pengundi adalah anggota polis, tentera, dan keluarga mereka. Lazimnya kem tentera dianggap simpanan tetap BN.

Selain Bersatu, PN dianggotai PAS. Walaupun kalah di semua kerusi yang ditandingi PAS tetapi menurut Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man “semua kerusi yang ditandingi PAS menunjukkan peningkatan memberangsangkan”.

Ertinya PN akan menggunakan “pencapaian” di Melaka untuk mengukuhkan kedudukan dan memberi tentangan hebat pada PRU15.

Jangan lupa Pakatan Harapan. Setelah kalah teruk di Melaka pasti mereka akan melakukan bedah siasat dan membaik pulih segala kesilapan dna kelemahan untuk berdepan PRU15.

Justeru, memandang enteng cabaran PN dan PH pada PRU15 boleh membawa padah kepada BN.

Seorang wartawan akhbar Cina menghantar pesanan melalui aplikasi WhatsApp kepada saya dalam Bahasa Melayu. Pesanannya bagi saya senada dengan kesimpulan “peringatan” Khairy: “BN jangan ghairah sangat

No comments: