KEADILAN PAHANG: KENYATAAN ADUN BILUT MENDESAK ANWAR IBRAHIM BERUNDUR ADALAH TINDAKAN TIDAK BERADAB DAN ANGKUH


1. Merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh ADUN Bilut, YB Lee Chin Chen seperti yang disiarkan melalui Malaysiakini bertarikh 22 November 2021, MPN Pahang memandang serius terhadap kenyataan tersebut kerana ia menjurus kepada serangan secara langsung kepada Pengerusi PH dan Presiden Parti Keadilan Rakyat iaitu Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
2. Kenyataan Ketua Pembangkang DUN Pahang itu dipetik melalui facebooknya menggesa Ketua Pembangkang yang juga Presiden Keadilan untuk berundur sebagai Ketua Pembangkang. Alasan dangkal yang diberikan oleh Adun Bilut tersebut hanya kerana kegagalan PH di dalam PRN Melaka baru-baru ini. Selain itu, beliau juga memberikan alasan kononnya untuk menentang konservatif agama serta mempertahankan politik sekularisme.
3. Pihak MPN Keadilan Pahang tidak berminat untuk menjawab kenyataan pra-matang ADUN Bilut tersebut kerana menonjolkan tahap pemikiran politik beliau yang kelihatan cetek dan tidak setara dengan kedudukan beliau sebagai Ketua Pembangkang di DUN Pahang.
4. 'Ugutan" beliau dengan menyarankan kepimpinan DAP untuk keluar dari PH sekiranya Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak melepaskan jawatan Ketua Pembangkang adalah satu tindakan tidak beradab dan langsung tidak menghormati rakan-rakan sekutu di dalam PH yang telah sepakat memilih MP Port Dickson itu sebagai Ketua Pembangkang. Hanya Majlis Presiden PH yang berhak menentukan kedudukan Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang dan juga Pengerusi PH, bukannya oleh pihak lain mahupun seorang ADUN.
5. Pandangan Keadilan Pahang adalah selari dan konsisten dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Penasihat DAP, YB Lim Kit Siang, YB Hanipa Maidin (Amanah) serta beberapa pimpinan lain yang mahu Ketua Pembangkang sekarang terus dikekalkan.
6. Justeru, Keadilan Pahang berpandangan ADUN Bilut itu agar terus memberi fokus dan memperbaiki prestasinya sebagai Ketua Pembangkang di DUN Pahang daripada menilai kedudukan Ketua Pembangkang di Parlimen.
7. MPN Pahang sekali lagi menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden Keadilan, Ketua Pembangkang dan juga Pengerusi PH.
23 November 2021
MAJLIS PIMPINAN NEGERI (MPN) KEADILAN NEGERI PAHANG



No comments: