Walaupun pemimpin senior dan utama dalam DAP tetap setia dan cenderung untuk terus mempertahankan Anwar Ibrahim selaku Pengerusi PH, malangnya kedapatan pemimpin muda dalam parti itu yang bersikap sebaliknya.
Hanya kerana PH gagal dalam PRN Melaka, beberapa pemimpin muda DAP lantas bersikap celupar serta angkuh mendesak agar Anwar diganti segera, baik atas kedudukannya selaku Pengerusi PH atau sebagai Ketua Pembangkang.
Gaya mereka bersuara mahu Anwar diganti itu muncul dalam pelbagai nada, ada yang berterus-terang dan ada juga yang berselindung di sebalik pelbagai istilah seperti “reset” dan seumpamanya.
Dalam keadaan PRU15 mungkin hanya tidak sampai setahun lagi daripada sekarang, memperkukuh PH dan sama-sama menyumbang ke arah kekukuhannya adalah jauh lebih penting dan mustahak daripada meminta Anwar berhenti.
Lagi pula, dalam tempoh yang dikira cukup singkat sebelum PRU15 tiba di depan mata, siapakah pemimpin, baik dalam PKR, DAP dan Amanah yang mampu menggalas tugas menggantikan Anwar?
Lebih daripada itu, pemimpin DAP yang celupar itu sendiri, apakah sumbangannya selama ini ke arah memperkukuh PH, khususnya dalam konteks mempamerkan DAP sebagai parti yang sederhana dan boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat di negara ini?
Menggantikan Anwar bukanlah jawapannya buat masa ini kerana tanpa Anwar, PH mungkin ditimpa kekalahan yang lebih teruk dalam PRU akan datang.
Anwar setidak-tidaknya jauh lebih ke depan dari segi kemampuan dan kewibawaan berbanding Ismail Sabri Yaakob, Zahid Hamidi, Najib Razak, Mahiaddiin Md Yasin, Mohamad Hasan atau sesiapa juga yang dikira adalah pesaingnya dalam PRU15 akan datang.
Belum berjaya atau tidak berjaya menjadi Perdana Menteri, jauh sekali setakat gagal mengemudi kejayaan dalam PRN Melaka, ia bukanlah ukurannya untuk meletakkan Anwar sebagai telah gagal.
Kalaulah untuk menjadi Perdana Menteri perlu ujian kelayakan seperti dari segi kemampuan, kewibawaan, kehehatan berpidato, pintar mematahkan hujah lawan, skil komunikasi, track rekod sebagai menteri sebelumnya, jalinan hubungan antarabangsa dengan pemimpin dunia luar dan sebagainya, sebenarnya sudah lama jawatan Perdana Menteri itu menjadi milik Anwar.
Begitu pun, jika pemimpin muda DAP yang ingin menolak Anwar atau tidak yakin dengan kemampuannya itu ingin terus bersikap demikian, apa kata mereka terlebih dahulu mendesak Lim Guan Eng agar membawa DAP keluar daripada PH.
Langkah ini sebenarnya lebih munasabah seumpama jika kita tidak setuju untuk terus tinggal berkongsi dalam sebuah rumah, kitalah yang sepatutnya keluar daripada rumah tersebut.
Adalah pelik bila mana kita tidak setuju dengan seseorang yang tinggal serumah dengan kita dan sementara yang lain-lain hanya berdiam diri, kita pula meminta orang itu keluar daripada rumah tersebut.
Satu-satunya jawapan kepada keinginan tidak mahu lagi berketuakan Anwar memimpin PH ialah membawa DAP keluar daripada gabungan itu.
Kemudian, kita lihat, kalau mereka berani menyuarakan desakan itu, apakah ia akan mendapat layanan atau pertimbangan daripada Lim Guan Eng, Lim Kit Siang atau kepimpinan DAP seluruhnya.
Dan jika akhirnya gesaan itu tidak mendapat layanan atau perhatian daripada DAP, langkah yang lagi terpuji dan disanjung tinggi ialah pemimpin berkenaan yang harus keluar daripada DAP.
Pilihlah wadah perjuangan lain yang tiada kaitan sama sekali dengan DAP yang masih ingin kekal bersama PH atau dengan PH yang masih ada Anwar sebagai ketuanya.
Beranikah kamu wahai orang muda DAP? – ShahbudinHusin 23/11/2021.