UMNO SUDAH MELINGKUP : Selepas 30 tahun, Ku Li luah perasaan terhadap pengharaman UMNO 1988

 

Selepas 30 tahun, Ku Li luah perasaan terhadap pengharaman UMNO 1988

Hasimi Muhamad
Selepas 30 tahun, Ku Li luah perasaan terhadap pengharaman UMNO 1988
Ahli Parlimen Gua Musang itu dalam sidang media di Parlimen mendakwa pengharaman UMNO oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Pendaftar Pertubuhan Malaysia ketika itu adalah tidak sah - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Selepas lebih 30 tahun, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini meluahkan rasa yang terbuku di hatinya berhubung pengharaman UMNO pada 1988.
Ahli Parlimen Gua Musang itu dalam sidang media di Parlimen hari ini mendakwa pengharaman UMNO oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Pendaftar Pertubuhan Malaysia ketika itu adalah tidak sah.
Sebaliknya, dakwa Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li, pembatalan UMNO dibuat berlandaskan politik demi menyokong kepimpinan semasa.
Jelas beliau lagi, susulan pengharaman UMNO ketika itu, sebuah parti baharu atas nama sama telah dibentuk oleh mereka yang bertanggungjawab terhadap pembatalan parti Melayu itu.
"Ini telah menimbulkan banyak masalah bukan sahaja kepada mereka yang tidak dapat menyertai UMNO baru sesudah UMNO asal diharamkan.
"Oleh kerana kita pada ketika itu adalah ahli-ahli yang aktif yang memegang jawatan dan menjadi ahli-ahli Parlimen, dan ramai antara kita yang dalam kerajaan, saya nampak pembatalan pendaftaran oleh Pendaftar Pertubuhan adalah tidak mengikut Akta Pertubuhan 65, yang diberi kuasa di bawah akta tersebut.
"Juga kita berfikir, penghakiman yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi mengharamkan UMNO juga di luar bidang jurisdiction dan sepatutnya peguam yang mewakili UMNO melarang hakim daripada membuat keputusan sedemikian rupa.
"Tetapi sebaliknya peguam itu pun kalah, UMNO diharamkan walhal ia mewakili UMNO itu sendiri," katanya pada sidang media di Bilik Media di Parlimen, pada Selasa.
[TERKINI] Sidang Media Ahli Parlimen Gua Musang
UMNO diisyhtiharkan sebagai sebuah pertubuhan haram oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Februari, 1988.
‘Pengharaman’ itu berpunca daripada tindakan sekumpulan ahli-ahli UMNO yang dikenali Kumpulan 11 yang memihak kepada Tengku Razaleigh mengambil tindakan undang-undang untuk mencabar keputusan pemilihan parti yang telah berlangsung pada 24 April 1987.
Mengulas mengenai tempoh masa 30 tahun, Ku Li berkata pakar-pakar perundangan dan peguam telah melakukan kajian terperinci berhubung pengharaman UMNO itu.
Justeru tegasnya, mengikut prinsip nullity, UMNO tidak seharusnya diharamkan.
"Sekarang timbul masalah, jika UMNO asal tidak haram dan tak sepatutnya penghakiman dilakukan sebagaimana dilakukan tempoh hari, maka apa jadi kepada UMNO sekarang?
"Jadi saya tak mahu menjawab bagi pihak UMNO sekarang, itu terserah kepada mereka yang ada tetapi saya hanya mementingkan kedudukan UMNO yang disalah hukum oleh mahkamah.
"Ia tidak pernah melanggar mana-mana satu undang-undang negara, tidak pun melakukan sesuatu yang salah dari segi pentadbiran. Maka, tidak ada sebab mengapa pendaftaran badan ini dibatalkan oleh Pendaftar Pertubuhan," katanya lagi.
Dalam masa sama, Ku Li berkata beliau hanya bersendirian menggerakkan perkara tersebut, selain berharap Dewan Rakyat boleh membahaskan mengenainya.
Untuk rekod, dua minggu selepas keputusan mahkamah, Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan Perdana Menteri ketika itu mengumumkan pendaftaran UMNO Baru.
Tengku Razaleigh kemudian memutuskan untuk membentuk parti baharu yang menumpukan kepada "semangat 1946".

No comments: