KUALA LUMPUR – UMNO menerima banyak cadangan daripada rakyat meminta tempoh moratorium sedia ada dilanjutkan.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, antara alasan ialah masih ramai yang hilang pekerjaan disebabkan pandemik Covid-19 belum memperoleh pekerjaan baharu.
Alasan itu sangat realistik bersandarkan perangkaan Statistik Tenaga Buruh bahawa kadar pengangguran di negara ini kembali meningkat kepada 4.8 peratus Jun lalu, katanya.
Begitu juga yang pernah hilang perniagaan akan mengambil masa sebelum dapat menjayakan perniagaan baharu.
“Mereka berasa khuatir tidak mampu keluar daripada kesulitan kewangan sebelum tempoh moratorium sedia ada berakhir.
“Walaupun sektor ekonomi telah dibuka semula, tetapi ramai menjangkakan ia tidak pulih secara drastik dalam tempoh terdekat,” katanya menerusi hantaran akaun Facebooknya hari ini.
Ahmad Zahid berkata, kemungkinan sebelum tempoh moratorium sedia ada berakhir, satu pengumuman lanjutan sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga bulan lagi diumumkan.
Kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, pengumuman awal penting membolehkan rakyat membuat unjuran perancangan kewangan mereka dari sekarang.
Ia mungkin boleh dipertimbangkan menerusi Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 29 Oktober ini.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, ramai bertanya mengapa tiada lagi desakan kuat daripada UMNO supaya total lockdown dilaksanakan.
Katanya, UMNO mendesak kerajaan lama buat total lockdown ketika rakyat masih ada kemampuan untuk menempuhinya iaitu sewaktu kes harian jangkitan Covid-19 baru mencecah empat angka awal tahun ini.
“Pada waktu negara masih ada kemampuan untuk memberi bantuan secukupnya kepada rakyat.
“Kita desak kerajaan lama buat total lockdown sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bermula, iaitu sebelum kes harian jangkitan Covid-19 mencecah lima angka pada pertengahan Julai lalu.
“Dengan situasi terkini, kerajaan baharu kelihatan keberatan melaksanakannya walau kes masih tinggi. Mungkin atas faktor rakyat sudah dalam keadaan tidak mampu mengharunginya atau ekonomi rakyat semakin parah.
“Tetapi tahap kesihatan mental sebilangan rakyat kian merungsingkan kerana terlalu lama berkurung dan jika total lockdown sekarang mungkin bagi kerajaan baharu keadaan rakyat akan bertambah teruk,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, apakan daya nasi sudah menjadi bubur dan andainya total lockdown bermula Januari lalu mungkin jangkitan Covid-19 ketika ini adalah terkawal.
Mungkin juga, kata beliau, rakyat ketika ini sedang selesa menikmati kelonggaran dengan kadar jangkitan yang rendah.
“Maka, ayuh semua terus amalkan SOP walaupun banyak kelonggaran telah diberikan oleh kerajaan menerusi Fasa 2, Fasa 3, Fasa 4, tetapi ingat jangkitan Covid-19 masih berada dalam komuniti kita.
“Kita masih terdedah kepada jangkitan. Virus ini masih aktif dalam persekitaran kita. Kerajaan minta kita hidup bersama Covid-19 tidak bermakna kita perlu merelakan jangkitan,” katanya. – MG