MENENTANG MAHAFIRAUN LAGI ....

 


KAK IDA ABDULLAH


SEANDAINYA DAKU TIDAK BERPELUANG MENJADI SAKSI DS ANWAR IBRAHIM DIANGKAT SEBAGAI PERDANA MENTERI, DAKU TELAH DIIZINKAN ALLAH UNTUK BERSAMANYA DAN KELUARGANYA DALAM PERJUANGAN MENEGAK KEADILAN DAN KEBENARAN DI BUMI INI. TERIMA KASIH YA ALLAH.

Malam Jumaat ni... 10 pertama Dzulhijjah pula....

Setelah lebih 20 tahun rumah saya tak dengar maki hamun kepada si Tua celaka tu, dah mula dah mulut ni nak maki. Kita ni dah 22 tahun melebihi usia sejak 1998, yang terbit dari bibir pun nak lah yang baik-baik saja tapi usia panjang nya betul-betul menguji kita.

Anak saya yang bongsu dah 25 tahun usianya. Semasa heboh diperkatakan mengenai CD China Doll, masa tu dia remaja lagi dan tak banyak mengetahui tentang cerita itu. Setiap malam Jumaat saya ke Segambut ditemani oleh Abangnya yang 5 tahun lebih tua darinya. Maka Abangnya lebih tahu cerita-cerita keji rekaan musuh-musuh DSAI.

Abang memang sejak dari 1998 sewaktu usianya 7 tahun mengikuti saya samada ke demo atau ceramah. Manakala kakak akan jaga adik di rumah. Begitula keadaan rumah kami 20 tahun lalu sehingga saat PH memenangi PRU 2018. Ingatkan dah menang boleh la relax, lagipun Segambut pun dah off limits dengan tetamu-tetamu baru setiap minggu. Anak-anak pun masing-masing dah bekerja, ada aktiviti masing-masing, takkan nak teman Mak lagi. Suami saya walau tak turut serta kerana tugas dan sering keluar negara, TIDAK pernah dia menghalang saya. Siap wakilkan dirinya kepada saya agar terus berada dalam perjuangan ini.

Sesekali ada aktiviti di rumah TPM dapatlah jumpa kawan-kawan yang lain. Terubatlah rindu.

Teringat saya semasa CD video China Doll. Seperti biasa malam Jumaat kami ke sana baca yasin dan solat hajat. Aktiviti malam Jumaat dikembalikan semula apabila kes Sayfool direkacipta.

Semasa kami bersiap-siap untuk solat Maghrib, Kak Wan pun datang untuk solat bersama Muslimat, kami pun bersalam-salaman. Kak Wan memeluk Kak Jan dan menangis. Kali pertama saya melihat Kak Wan menangis. Sangat sayu waktu itu. Saya yang berada sebelah Kak Jan jenuh dok control macho!

Apabila Kak Wan berdiri hampir dengan saya, saya pun berbisik kepadanya, "Kak Wan, at this moment, berapa ramai tengah lakukan perkara tak senonoh somewhere, is it being recorded?" Kak Wan memandang saya dan berkata, "ah ya kan?" "Exactly, so Kak Wan jangan risau all these rubbish just nak menguatkan fitnah mereka!" Saya tak pasti samada ia melegakan hatinya. Saya faham perasaan seorang wanita.

Apabila fitnah mengatakan suaminya seorang peliwat, dia masih kuat dan kental melawan tohmahan itu kerana dia tahu itu fitnah semata. Tapi apabila dikaitkan dengan wanita, pasti akan terasa sedih. Orang perempuan ni suami mereka perut boroi ke, tak dak gigi ka tetap sayang. Ini yang orang lelaki tak faham. Tambah pula jika suami tu tak ringan tangan, susah macam mana pun akan sanggup dia lalui. Kita semua menjadi saksi bagaimana Kak Wan yang bertubuh kecil tetapi tersangat besar jiwanya membesar anak-anaknya sementara suaminya dianiaya dan dipenjara atas tuduhan yang sangat keji dan yang sedihnya ramai orang Melayu Islam mempercayainya. Kalaupun tak percaya mereka masih ada perasaan syak yang memberat kepada percaya.

Kali kedua saya melihat Kak Wan menangis ialah ketika dalam kamar perbicaraan kes Sayfool. Setelah sebulan tak silap saya, tak dapat berjumpa, penyokong ke mahkamah. DS di bawa ikut laluan lain. Kami bergegas pula lari dan menunggu DSAI. Dalam berasak-asak saya terlepas masuk ke dalam bilik menunggu. Dalam bilik tu Kak Wan dan anak-anak sedang menunggu DSAI yang dikawal ketat oleh pegawai penjara dan polis. Peguam beliau Puan Kamar Aniah (maaf kalau sebut salah) juga ada, Dato Saifudin juga. Kak Ida sorang je tersesat dalam bilik tu. Masa tu saya yang menangis ditenangkan oleh Iman anak DSAI.

Macam mana tak sedih. DSAI duduk di sofa skype dengan Ehsan, sofa dikelilingi pegawai penjara macamlah DSAI nak lari!

DSAI pula dok bagitau pegawai "anak saya ni, ehsan!" Orang aniaya dia, dia masih layan orang dengan baik! Hati saya sangat marah dan sedih dan menangis. Sedih melihat Kak Wan dan anak-anak langsung tidak mengeluarkan airmata, mereka sembang macam DSAI dah bebas! Ya Allah jika keluarga kita pastilah selepas sebulan tak berjumpa akan berpelukan menangis. Kecekalan dan kesabaran mereka membuatkan saya menangis.

Selepas seminggu atau lebih macam tu, tak salah saya, DSAI dibawa ke mahkamah. Saya duduk sebelah Kak Wan. Kali ini Kak Wan menangis. Kak Wan putih melepak, hidungnya, matanya merah menyala. Kak Ida mengusap belakangnya, sekali lagi jenuh saya menahan airmata. "Dulu Kak Wan tak sedih sangat," katanya, "sebab dulu Kak Wan muda tapi lanie Kak Wan dah tua. Sedih tak tau Kak Wan p dulu, suami Kak Wan ke dulu. Tak tau sempat jumpa ke dak...." sambungnya sambil mengesat airmatanya. Kak Ida hanya mampu mengusap belakangnya. Kalau aku cakap, pasti hujan turun dengan lebatnya! Alhamdulillah Allah panjangkan usia mereka berdua.

Saya bukanlah terlalu rapat tahu semua mengenai keluarga DSAI, TETAPI setiap minggu ke rumah DS, ke mahkamah, memberi sokongan, dapatlah saya lihat bagaimana kekuatan dan kesatuan keluarga mereka. Apabila saya berkata DSAI berperibadi baik dan lembut BUKAN lah saya sedang mereka-reka agar beliau mendapat simpati sesiapa yang membaca. Seseorang jika dia berlakon watak yang bukan dirinya mesti akan ada slip up. DS memang tak reti marah. Suara kuatnya di pentas berapi, tapi ya Allah apabila bercakap, suaranya lemah lembut sukar dipercaya. Anak-anak mereka juga sangat tertib dan sopan.

Pernah suatu ketika, saya tidak ingat apa kes. Seorang wartawan dari Antara Pos telah berkunjung ke rumah DSAI dalam salah satu program Segambut. Wartawan itu, seorang wanita muda ingin komen dari DSAI mengenai suatu isu. DSAI enggan komen kerana tahu sajalah jika dari UMNO potensi putar belit kenyataan DSAI tu memang ada. Dia ikut DSAI keliling, sampai DSAI cakap, "saya nak makan ni. Saya tak nak komen. Kalau saya komen pun bukan awak akan tulis, tak mau, tak mau!" Kami dah bangun, hish rasa nak tampar je budak tu. DSAI berdiri dan redakan dengan tangannya memberi isyarat untuk bertenang, "tak pa, tak pa ni UMNO ni... Tak pa, tak pa, relax."

Apabila DSAI enggan melayannya, dia dan camera man pun balik. Apabila dia lalu dekat meja kami, Kak Siti bangun dan marah dia. Kak Siti memang kuat suara dia. Kenalah sebiji budak tu. Ganggu DSAI nak makan pun tak senang! Kalau pembesar Melayu lain mau kena halau dah! Wartawan, kalau dengan pemimpin UMNO mereka sangat berhemah.

Kak Ida cerita ni hanya pengalaman sedikit saya mengenali keluarga DSAI. Jadi apabila Atok celaka ni tak habis-habis nak reka cerita memang mendidihlah hati saya. Saya berpendapat jika DSAI menyimpan rahsia Atok jahanam ni bagitau sajalah supaya rakyat tahu betapa busuknya dia. Macam-macam dia buat kepada DSAI entah apa dia tak puas hati sangat. Bagilah final smack down.

DS pun dah berumur 73 tahun, si Tua tu dah dekat 100 tahun. Rakyat dah letih. Biarlah kita lawan habis-habisan. Saya pun dah berusia 60 tahun. Ramai kawan-kawan reformis dah kembali ke rahmatullah TANPA melihat hajat mereka, DSAI PM. Malaysia dah disialkan oleh Atok selama lebih 22 tahun dengan fitnah jijik. Sebagai orang Islam kita semua tahu, Allah amat murka kepada fitnah. Malaysia jadi begini pun sebab fitnah.

Fitnah kejinya BUKAN lah satu contoh yang baik kepada rakyat khususnya orang muda. Apa contoh mereka dapat teladani selain dari menyubur fitnah terhadap lawan jika ingin mencapai kemenangan? Apa contoh selain rasuah dan penyelewengan untuk mendapat kekayaan. Cantas mencantas, rebut merebut sehingga jawatan bukan lagi amanah TETAPI untuk bermewah-mewah. Adakah ini satu budaya yang sihat.

Selama lebih 20 tahun inilah yang Mahasakatua semaikan ke dalam minda rakyat. PM silih berganti semua mengguna formulanya demi mengekalkan kuasa. Mereka akan tokok tambah lebih lagi demi pulangan lebih lumayan sesuai dengan zaman dan nafsu kroni. Jika zaman SakaTua juta, zaman Najib bilion, zaman Mahiaddin ratusan bilion. Rakyat juga sudah mula berfikiran lebih banyak pendapatan itulah kejayaan. Hilang sudah nilai-nilai murni dalam memiliki kekayaan sehingga gelaran doktor pun dibeli HANYA sebagai lesen untuk mencuri dengan menyeleweng. Saudara, kawan rakan tidak lagi menjadi penghalang untuk dijadikan mangsa. Sehingga rakyat nampak jalan-jalan kejahatan sajalah jalan-jalan kejayaan!

Ya Allah apa akan terus berlaku jika siTua itu diberi lagi kuasa? Ya Allah kepada Mu kami mengadu, hamba Mu itu sesungguhnya adalah seburuk-buruk manusia untuk kami taati dan hormati. Kasihanilah kami. Sudah puluhan tahun hamba Mu, Mahathir menyusahkan hidup kami dengan menentukan siapa yang boleh memimpin kami.

Ya Allah di antara kami ada orang-orang yang baik, IZINKAN lah mereka pula beroleh kuasa menggantikan mereka yang jahat, penegak kebatilan di bumi Mu ini. Setelah puluhan tahun kami dipimpin oleh pemimpin jahat silih berganti, kurniakan kami Ya Allah pemimpin yang baik, yang jujur, berakhlak dan beriman pula memimpin kami.

Sungguh sayu hati ini mengenangkan mungkin saya juga menyusuli kawan-kawan tanpa hajat saya kesampaian untuk melihat DS Anwar Ibrahim dinobat sebagai Perdana Menteri Malaysia. Sedih hati ini apabila ia sekadar mimpi tidak menjadi realiti dipimpin oleh DSAI, membawa Malaysia melangkah dengan lebih gagah, lebih berdaya saing, rakyat hidup dengan harmoni berkasih sayang tiada benci. Bersatu padu bersama seiring hormat menghormati kerana saya yakin dengan kemampuan DS Anwar Ibrahim dapat mengangkat kembali mertabat negara. Saya yakin setelah hidup dalam kucar kacir lebih 2 dekad, rakyat mampu hidup sejahtera dibawah kepimpinan DS Anwar. Anak bongsu saya terkilan kerana suasana yang saya ceritakan pernah saya lalui ditahun-tahun sebelum Sakatua memimpin negara tidak pernah dilalui dan kemungkinan tidak akan dirasai andaikata DS Anwar terus dinafi dan dihalang memimpin negara ini.

Rakyat Malaysia pelbagai bangsa tidak dapat menterjemahkan kecintaan kepada negara kerana dirosakkan oleh ahli politik keji yang rakus dan gelojoh merampas apa yang ada. Jika negara ini ditadbir dengan baik, telus dan adil PASTINYA rakyat dapat hidup dalam sejahtera. Sekarang rakyat hanya mampu melihat negara lain dipelihara, sedangkan negara kita dimusnah dengan rakus tanpa rasa bersalah. Kuasa yang mereka perolehi dari rakyat tiba-tiba memberi mereka kekebalan melakukan apa saja tanpa memikirkan kesan dan akibatnya.

Apabila hilang keindahan dinegara sendiri, mereka dengan mudah dan bangga bercuti ke luar negara. Mengirim gambar melalui maya keindahan negara orang yang mempunyai pemimpin cintakan negara. Sedangkan mereka sebagai pemimpin dengan tiada rasa malu atau takut menceroboh dan merosak hutan belantara, memotong bukit, mencemar sungai di negara tumpah darah mereka. Ya Allah sungguh kejam pemimpin-pemimpin negara ini.

Jika doa menurunkan bala hanya kepada mereka tanpa negara dan rakyat ditimpa sama, pasti ku angkat tangan dan berdoa. Namun ku tahu apabila bala menimpa yang tidak berdosa mungkin terkait juga. Jika benci itu tidak berdosa, maka Mahathir adalah manusia yang ingin ku longgokkan kesemua kebencian.

Jika berdoa kemusnahannya dibolehkan pasti ku tadah tangan dan meminta. Namun daku beriman dengan peringatan Mu wahai Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Pengampun, BAHAWA buruk atau baik yang dilakukan seseorang manusia adalah untuk diri sendiri bukan kepada orang lain. Maka ku yakin BUKANLAH Anwar yang dianiaya Mahathir tapi dirinya. BUKANLAH imej Anwar yang tercela tetapi imej Mahathir yang dihina. Dan ku yakin dengan janji Mu bahawa apabila Dikau memulia tiada siapa dapat menghina, apabila Dikau menghina tiada siapa dapat memulia.

Daku memohon ampun kerana apbila ku hilang kesabaran terpantul juga makian dari bibir ku ini mencelakannya. Sungguh tidak dapat menerima kekejamannya yang tidak tiada akhirnya. Bolehkah manusia sebegitu kejam? Ya Allah hanyasa daku berdoa Dikau angkatlah darjat DS Anwar, Kak Wan dan keluarga setiap kali cubaan hamba-hamba Mu yang jahat mengaibkan mereka. Pulangkan semua keaiban kepada pemfitnah dan penyokong mereka. Timbulkan rasa tidak percaya dan benci kepada fitnah dalam hati rakyat Malaysia. Ya Allah gagalkan rencana jahat mereka. Kurniakan kejayaan kepada rakyat dengan mengizinkan hamba Mu Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia. Laa Haula Wa laa quwwata ila billahil 'aliyil adzim. Amiin Description: ❤️

Nota: Saya mohon maaf sekiranya cerita saya ini tidak disenangi oleh keluarga DS. Saya sekadar mencerita pengalaman saya yang sangat dekat dihati saya yang menjadi inspirasi kepada saya dan keluarga untuk terus memberi sokongan kepada DS, Kak Wan sekeluarga. Dengan keadaan sekarang yang entah bila dapat bersua semula, saya memohon maaf jika ada salah dan silap dan halalkan makan minum saya semasa menikmati hidangan penuh keberkatan di rumah Segambut setiap malam Jumaat. Ukhuwah para sahabat saya hargai.

Ikhlas Dari

- kakIDAabd -

 

No comments: