Gagal menasihati Agong: Peguam Negara perlu dipecat - PH

 

Tindakan Peguam Negara yang tidak secocok dengan tanggungjawab beliau sebagai penasihat undang-undang negara kepada Yang di-Pertuan Agong mewajarkan beliau melepaskan jawatannya.



Sehubungan itu, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menyokong cadangan dan laporan media yang mensyorkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menerima nasihat guaman sendiri melalui badan seperti Majlis Privi (Privy Council) kerana pendirian Peguam Negara yang diragui.



"Isu ini timbul susulan siri kenyataan umum Peguam Negara, termasuk yang terkini berkaitan isu penzahiran sokongan terhadap Perdana Menteri serta kenyataan 25 Jun lalu, berhubung kuasa-kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan nasihat Jemaah Menteri yang telah melampaui batas adab, kerana memperkecil dan memperlekehkan titah pandangan Raja-Raja Melayu.



"Walaupun Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan “Menjadi kewajipan Peguam Negara menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri, atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara perkara undang-undang…”, namun timbul tanda tanya apakah Peguam Negara kini boleh menjalankan fungsi tersebut secara tidak berat sebelah (‘impartial’).



"Apatah lagi apabila kita diingatkan bahawa terdapat kes-kes berprofil tinggi tertentu seperti Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 27 Mei lalu namun sehingga hari ini tiada arahan pendakwaan dari Peguam Negara.



"Ini memang luar biasa apabila seseorang itu ditahan lebih sebulan yang lalu namun masih belum didakwa, dan semestinya menimbulkan tanda tanya sama ada wujud motivasi lain dengan melengahkan pendakwaan di mahkamah," kata mereka dalam kenyataan hari ini.



Menurut kenyataan itu lagi, sekiranya Peguam Negara enggan melepaskan jawatannya, dan terus menyalah guna fungsi beliau maka seharusnya Peguam Negara dipecat.



"Majlis Presiden mengulangi pendirian Peguam Negara perlu dipecat, atau beliau sendiri meletakkan jawatan secara terhormat kerana beliau dilihat tidak lagi mampu menjalankan tugas rasminya secara profesional dan berkecuali dalam menegakkan undang-undang, termasuk dalam isu memberi nasihat kepada Seri Paduka Baginda," kata mereka lagi.



Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.


No comments: