Jangkitan Covid 19 yang semakin memburuk di negara ini menunjukkan
ketidakseriusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam membendung pandemik.
Bagi mantan Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dr Lee Boon Chye,
perang melawan Covid harus berada dalam skala pertempuran sepenuhnya.
Katanya, negara tidak lagi boleh bergantung kepada kemudahan
hospital sedia ada dan memerlukan hospital lapangan yang boleh menampung
sejumlah besar pesakit baharu yang bertambah setiap hari.
"Kita boleh lihat dalam isu kedudukan hospital kerajaan di
Lembah Klang, ia memang genting dan kegunaan katil melebihi seratus peratus
akibat Covid-19.
"Sepatutnya perancangan lebih awal harus diusahakan untuk
menambah doktor, jururawat dan tenaga kerja yang lain di samping membina
hospital sementara besar-besaran seperti ‘field hospital’ semasa perang.
"Di samping itu kawalan pandemik Covid perlu dipertingkatkan.
Jelas sehingga hari ini perisytiharan Darurat tidak membantu, bahkan pandemik
makin teruk," katanya kepada Suara Keadilan.
Dalam pada itu, Boon Chye yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat
(MPP) KEADILAN menempelak pemimpin kerajaan PN yang saban hari berkata keadaan
terkawal.
Hakikatnya, menurut beliau, keadaan sudah tidak terkawal dan
darurat tidak sebagaimana digambarkan pada waktu diumumkan Januari lalu, boleh
menggunakan lebih banyak kemudahan awam dan swasta untuk mengadapi Covid.
"Kegagalan kawalan pandemik jelas walaupun setelah enam bulan
darurat dan enam minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Jumlah kes semakin meningkat dan sudah melepasi 10,000 ribu
kes sehari, sepertimana jangkaan saya pada bulan Mei 2021," katanya lagi.
Tegas Boon Chye, kerajaan perlu mengubah strategi dengan
memperbanyakkan ujian saringan ketika proses vaksinasi masih lambat untuk
mencapai imuniti kelompok atau pun menyuntik 80% daripada 32 juta penduduk
Malaysia.
Hanya dengan pengesanan awal kontak, katanya, boleh menyelamatkan
nyawa, terutama menghadapi varian dari Afrika dan India yang tidak menunjukkan
simptom awal.