UNTUK ELAK DICOP ORANG JAHAT, NAZRI KINI PERLU DEDAH SIAPA 25 AHLI PARLIMEN ITU…

 

Walaupun berdiam diri, Hishammuddin Hussein setakat ini tidak menafikan kewujudan 25 Ahli Parlimen UMNO yang didakwa menyokongnya dan dalam masa yang sama telah hilang kepercayaan terhadap Presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau hanya menafikan mengenai surat yang didakwa ditulisnya kepada Yang Dipertuan Agong untuk membentuk kerajaan baharu.

Seorang pegawai beliau juga telah membuat laporan polis berhubung surat yang tersebar luas di media sosial itu.

Namun, meskipun pengakuan Nazri Aziz mengenai SD itu dibuat lebih awal daripada tersebarnya surat kepada Agong, Hishamuddin sehingga ini masih lagi berdiam diri.

Adakah tiadanya penafian Hishammuddin itu bermakna ia memang benar?

Jika SD itu benar, mengapa Hishammuddin tidak mahu mengakuinya secara terbuka?

Sebelum ini, isu berkenaan 25 Ahli Parlimen UMNO yang telah menandatangai Akuan Bersumpah menyokong Hishammuddin dan hilang kepercayaan terhadap Zahid Hamidi telah didedahkan oleh Nazri, Ahli Parlimen Padang Rengas.

Nazri malah mengakui beliau adalah mastermind dalam gerakan mengumpul SD itu.

Begitu pun, setelah beberapa hari berlalu, siapa 25 Ahli Parlimen berkenaan masih lagi misteri dan tidak diketahui siapakah mereka.

Dalam masa yang sama, ada yang percaya dan juga yang tidak percaya tentang adanya seramai 25 Ahli Parlimen UMNO telah hilang kepercayaan kepada Zahid Hamidi.

Seseorang yang rapat dengan pimpinan UMNO menangkis adanya sehingga 25 Ahli Parlimen telah menandatangani SD hilang kepercayaan kepada Zahid Hamidi itu.

“Paling ramai pun mungkin ada 15 orang saja,” katanya dengan yakin.

Seorang Ahli MT UMNO, Alwi Che Ahmad juga tidak percaya kewujudan 25 Ahli Parlimen yang didakwa hilang kepercayaan kepada Presiden itu.

Semua ini, ujarnya, hanya salah persepsi saja.

“Semua ini salah persepsi. Bukannya 25 Ahli Parlimen UMNO membelakangkan Zahid Hamidi.

“Semua Ahli Parlimen UMNO dan BN taat kepada Presiden. Institusi Presiden kita tak tergugat,” tambahnya lagi.

Tetapi, dalam keadaan sekarang, ditambah dengan Hishammuddin kekal berdiam diri dan menampakkan dirinya suci, yang ternampak jahat ialah Nazri.

Beliau dilihat sebagai seorang yang cuba menimbulkan masalah dan ketegangan dalam UMNO dan terhadap Presiden dalam keadaan parti lebih perlu diperkukuhkan bagi menghadapi PRU15 akan datang.

Terdapat juga kalangan tertentu dalam UMNO yang mendakwa Nazri sengaja berbuat demikian berikutan beliau sendiri memang ada masalah dengan Zahid Hamidi sejak sekian lama.

Cuma, mengenali Nazri, selain diketahui sebagai seorang yang vokal dan berterus-terang, beliau juga adalah seorang yang jujur.

Beliau tidak hipokrit dan bukan jenis menikam kawan secara diam daripada belakang.

Bagi Nazri, kalau mahu bergaduh atau berperang, ia mesti dilakukan secara terbuka.

Dalam hal ini, harus dilihat bahawa pendedahan mengenai dirinya adalah mastermind dalam gerakan mengumpul SD untuk menyokong Hishammuddin adalah sebahagian gambaran kejujuran dan tidak hipokritnya beliau.

Maka, sebagai langkah perang terbuka seterusnya terhadap Zahid Hamidi, lebih-lebih lagi gerakan yang dilakukannya dalam mengumpul SD itu tentu saja mendapat restu Hishammuddin sendiri, adalah penting untuk Nazri mendedahkan siapa 25 orang Ahli Parlimen terbabit.

Jika tidak, beliau akan terus dilihat sebagai budak nakal atau orang jahat dalam parti.

Lebih-lebih lagi, oleh kerana Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hassan sudah mengesahkan pemilihan UMNO tahun ini akan ditangguhkan berikutan ancaman Covid19 masih belum reda, penting sebenarnya untuk kita melihat siapa di kalangan 25 orang yang didakwa sudah menandatangani SD itu yang mahu mengakui dan siapa pula bakal terbelit lidah menafikannya.

Terlebih penting, kita juga mahu melihat sama ada Hishammuddin sendiri mahu mengakuinya atau sekali lagi menyimpan keris dan meminta maaf setelah macam nampak garang menghunusnya di depan perwakilan Perhimpunan Pemuda UMNO beberapa tahun sebelum ini? 


(ShahbudinHusin 25/06/2021)

No comments: