Percepat vaksin kepada pemandu e-hailing, penghantar makanan


Oleh B. Suffian

Pemuda Pakatan Harapan (PH) mendesak kerajaan mempercepat pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada golongan pemandu e-hailing dan juga penghantar makanan.

Pemuda PH dalam satu kenyataan berkata, pihak kerajaan tidak seharusnya mempertaruhkan nasib golongan itu dengan melambatkan proses vaksinasi kepada mereka. 

“Mereka juga sebahagian daripada barisan hadapan yang berhempas pulas memastikan ekonomi dalam kalangan rakyat terus berjalan walaupun dalam fasa ‘lockdown’. 

“Mereka ini mempunyai risiko yang tinggi terhadap penyebaran wabak Covid-19 seperti mana pekerja industri yang lain,” katanya dalam satu kenyataan. 

Dengan pelaksanaan progam vaksinasi fasa keempat yang bermula pada bulan ini, jelas kenyataan itu, seharusnya pihak kerajaan memasukkan golongan itu ke dalam fasa tersebut bersama pekerja industri sebagai langkah pencegahan wabak Covid-19.

“Merujuk kepada kenyataan terbaru pihak kerajaan dalam Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa+) yang menjanjikan bantuan secara “one-off payment” bernilai RM500 kepada hampir 100,000 pemandu teksi, bas, dan juga servis “e-hailing”, kami dapati bahawa masih terdapat ruang penambahbaikan supaya nasib mereka terbela,” katanya. 

Menurut kenyataan berkenaan, selain daripada pemberian bantuan secara ‘one-off’, kerajaan juga seharusnya mengkaji semula kadar potongan komisyen terhadap syarikat-syarikat e-hailing. 

“Kadar terkini yang memotong hampir 20 peratus daripada bayaran kepada pemandu dilihat agak tinggi dan membebankan para pemandu e-hailing. 

“Cadangan kami adalah supaya kadar potongan komisyen ini dikurangkan kepada 15 peratus. Hal ini dapat membantu meringankan beban para pemandu dalam menghadapi era pandemik ini,” katanya. –

No comments: