PM pun terikat dengan Perlembagaan, bukan hanya Agong, bekas menteri ingatkan Peguam Negara

 

Zaid Ibrahim mempersoal kenyataan Peguam Negara Idrus Harun bahawa Yang di-Pertuan Agong mesti bertindak atas nasihat Jemaah Menteri, dengan mengatakan bahawa Perdana Menteri yang mengetuai Kabinet mesti terlebih dahulu mempunyai majoriti dalam Parlimen.

PETALING JAYA: Peguam Negara tidak boleh abaikan persoalan tentang kesahan pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika berhujah Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri.

Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim berkata seperti mana Agong terikat dengan Perlembagaan, begitu juga Perdana Menteri, yang harus mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

“Ini adalah sesuatu yang dipertikaikan. Persoalan utama adakah Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti atau tidak, adalah kritikal,” katanya.

Artikel 43 Perlembagaan Persekutuan, kata Zaid, menjelaskan bahawa Perdana Menteri bukan hanya pemegang jawatan tetapi seseorang yang mendapat sokongan majoriti di Parlimen, dan hanya jika syarat ini dipenuhi, apakah Agong perlu bertindak atas nasihatnya.

“Kita tidak boleh mempunyai kerajaan yang tidak mendapat sokongan majoriti. Ia tidak demokratik. Ia berhenti menjadi kerajaan rakyat, sistem itu rosak,”

Zaid mengulas kenyataan Peguam Negara Idrus Harun hari ini bahawa Agong perlu bertindak atas nasihat Jemaah Menteri dalam memanggil persidangan Dewan Rakyat, selepas Agong meminta Parlimen mengadakan persidangan “secepat mungkin”.

Idrus berkata, Perdana Menteri yang harus menetapkan tarikhnya, 28 hari sebelum persidangan dan tidak ada peraturan darurat yang mengecualikan peruntukan utama Raja Berperlembagaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bercakap kepada FMT, Zaid berkata Idrus tidak boleh lupa bahawa pengisytiharan darurat, yang menyaksikan Parlimen digantung, datang pada masa majoriti kerajaan dalam Parlimen adalah tipis dan dipersoalkan selepas dua Ahli Parlimen Umno menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

“Sangat penting untuk Parlimen dibenarkan bersidang secepat mungkin, dan bukan mengikut kehendak kerajaan yang majoritinya diragui.

“Persoalan mengenai kesahan kerajaan perlu dijawab terlebih dahulu.”

Sementara itu, Ketua Penerangan Barisan Nasional Selangor, Isham Jalil, berkata, sokongan sebenar terhadap Muhyiddin tidak diketahui dan perlu dibuktikan sebelum Agong boleh diminta bertindak atas nasihat Jemaah Menteri yang dipimpinnya.

“Jika tidak, adalah tidak adil dan salah untuk Agong untuk diminta bertindak atas nasihat Perdana Menteri yang kesahannya diragukan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah, jika seorang Perdana Menteri tidak mendapat sokongan majoriti, Agong juga boleh melantik seorang Ahli Parlimen lain sebagai Perdana Menteri.

No comments: