Tiada perancangan jual LTSAAS, kata Kementerian Kewangan


Kementerian Kewangan berkata sebarang usaha untuk memaksimumkan nilai aset LTSAAS tidak akan melibatkan penjualan hartanah. (Gambar fail)

PETALING JAYA: Kementerian Kewangan tidak ada perancangan untuk menjual mana-mana aset lapangan terbang di Malaysia termasuk lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) kepada mana-mana pihak.

Dalam kenyataan susulan spekulasi media berhubung penjualan LTSAAS, Kementerian Kewangan berkata, hartanah lapangan terbang adalah dianggap sebagai aset strategik kerajaan.

“Sehubungan itu, Kementerian Kewangan juga ingin memaklumkan bahawa Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) masih memiliki pajakan selama 60 tahun, iaitu sehingga tahun 2067, ke atas tanah di mana terletaknya LTSAAS buat masa ini,” katanya kenyataan itu.

Kementerian Kewangan berkata, LTSAAS merupakan salah satu daripada 39 lapangan terbang di bawah kendalian MAHB selaras dengan perjanjian operasi di antara Kerajaan dan MAHB yang dimeterai pada 2009.

Katanya, MAHB bukan pemilik mana-mana hartanah lapangan terbang tersebut.

“Setakat ini, MAHB masih merupakan pihak yang dipertanggungjawabkan untuk membangunkan aset sekitar LTSAAS.

“Sebahagian tanah LTSAAS juga telah dipajakkan (sub leased) oleh MAHB kepada Subang Skypark Sdn Bhd bagi tempoh 30 tahun (2007-2037),merangkumi pengendalian Terminal 3, tempat letak kereta dan hangarage,” katanya.

Kementerian Kewangan berkata, sebarang usaha untuk memaksimumkan nilai aset LTSAAS tidak akan melibatkan penjualan hartanah.

“Sehubungan itu, Kementerian Kewangan ingin menasihatkan semua pihak agar tidak menyebarkan berita palsu dan khabar angin mengenai perkara ini, dan kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas pihak-pihak yang berbuat demikian,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Pengangkutan dalam kenyataannya mengenai isu sama berkata, tiada sebarang keputusan Kabinet dibuat setakat ini untuk meluluskan penjualan mana-mana bahagian LTSAAS kepada sektor swasta, seperti yang didakwa oleh pihak tertentu.

Katanya, hak pengoperasian kekal bawah Perjanjian Pajakan yang diberikan kepada MAHB untuk mengendali, mengurus dan menyelenggara termasuk menetap, mengguna dan mengawal LTSAAS sehingga tahun 2034 dan 2067.

“MAHB bertanggungjawab untuk mengembangkan LTSAAS sebagai hab aeroangkasa antarabangsa mengikut keputusan Kabinet pada 2 Mac 2005. Tidak ada keputusan lain yang dibuat untuk mengubah perkara ini,” kata kenyataan itu lagi

No comments: