Jajaran baru: Pemuda Pas, Bersatu tak perlu masuk campur urusan parti lain, kata Najib

 Jajaran baru: Pemuda Pas, Bersatu tak perlu masuk campur urusan parti lain, kata Najib


Pemuda AMANAH Perak ingin mengingatkan Pemuda Pas dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) supaya menjaga parti sendiri dan tidak perlu masuk campur urusan parti lain.

Kedua-dua parti ini mempunyai masalah mereka sendiri dan masih bergelut dengan ketidakpercayaan sesama mereka.

Jadi, gesaan mereka kepada Umno untuk tidak bekerjasama dengan parti lain adalah bukti ketakutan mereka yang sedar bahawa mereka akan hilang kekuatan yang selama ini ditunjangi Umno.

Semua orang sedar bahawa tema perpaduan ummah itu hanyalah wayang dan tungggangan Pas dan Bersatu demi kuasa. Jauh sekali untuk menjaga kepentingan ummah seperti yang diwar-warkan.

Buktinya, meskipun Pas berada dalam kerajaan, perkara-perkara yang dulunya menjadi modal Pas menghentam Pakatan Harapan, tidak pula diubah malah diam membisu seribu bahasa. Kes Adib, judi, arak, RUU 355, peningkatan harga barang dan banyak lagi isu yang kononnya menjadi sebab Pas bersama dalam kerajaan khianat tidak pula menjadi keutamaan mereka sekarang.

Begitulah munafiknya Pas dan Bersatu apabila mereka kini cuba mengajar parti lain terutamanya Umno.

Pemuda AMANAH ingin mengingatkan Pas dan Armada bahawa mereka kini sudah gagal mentadbir negara dan rakyat semakin tertekan dengan tindakan dan polisi yang tidak memihak kepada rakyat.

Ada baiknya mereka mendesak pimpinan tertinggi mereka supaya mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong untuk segera membuka parlimen dan mempercepatkan proses vaksinasi di seluruh negara yang telah ditegur oleh Raja-Raja Pemerintah di negeri-negeri.

Contohi Perak di mana Menteri Besar segera mengambil tindakan untuk membuka sidang DUN dan menghormati sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Rakyat sudah muak dengan politik sempit perkauman dan adu-domba ekstremis kaum dan eksremis agama yang tidak habis-habis menghuru-harakan keharmonian negara yang berbilang bangsa ini.

KHAIROL NAJIB HASHIM
Ketua Pemuda
AMANAH Negeri Perak