Jangan jadikan ‘non-essential services’ mangsa keadaan

 

Oleh B. Suffian

Sampai bila kerajaan akan melaksanakan ‘full lockdown’ separuh jalan ini, soal Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi. 

Beliau mengingatkan kerajaan PN bahawa yang menjadi mangsa akibat pelaksanaan ‘total lockdown’ separuh jalan adalah sektor perkhidmatan dan industri bukan perlu (non-essential industries). 

Lebih malang, kata beliau, jumlah kes juga tidak menurun seperti yang dijangka dan majoriti kes adalah berpunca daripada tempat kerja yang masih dibenarkan beroperasi.

“Sebahagian sektor tidak dibenarkan beroperasi bagi mengekang penularan virus Covid-19. Namun usaha yang dilakukan oleh kerajaan setakat ini tidak mencukupi. 

“Mengurangkan kes kepada angka sifar merupakan harapan kepada sektor-sektor ini untuk kembali beroperasi semula. 

“Walau bagaimanapun, berdasarkan situasi semasa, masih tiada sinar bahawa keadaan akan menjadi lebih baik setelah tiga minggu negara menjalani ‘full lockdown’ separuh jalan ini,” katanya semalam. 

Beliau turut mengongsikan statistik kes positif Covid-19 di negeri Johor yang merekodkan jumlah kedua tertinggi iaitu 627 kes pada Ahad lalu. 

“Daripada 627 kes yang telah direkodkan ini juga, 464 kes atau 74 peratus adalah berpunca daripada 19 kluster. Lebih mengejutkan adalah 18 daripada 19 kluster berpunca daripada tempat kerja. 

“Hanya satu kluster di Mersing yang dikategorikan kluster komuniti dengan 30 kes aktif. Dalam erti kata lain, 69 peratus atau 434 kes di Johor adalah berpunca daripada tempat kerja,” katanya. 

Mengulas lanjut, Shu Qi berkata, Kerajaan PN di peringkat Persekutuan dan kerajaan Johor pimpinan UMNO perlu segera melaksanakan ujian saringan besar-besaran kepada semua sektor perkhidmatan perlu (essential services) yang masih beroperasi. 

Tanpa saringan besar-besaran, tegasnya, ‘full lockdown’ benar-benar hanya separuh jalan. 

“Lebih penting, jangan jadikan industri bukan perlu (non-essential services) mangsa keadaan tanpa sebarang usaha untuk membantu mereka,” katanya.

No comments: