Asyraf Roslan
Jun29, 2021
Kebanyakan yang menyertai kempen menyatakan, rakyat yang susah tidak perlu berasa malu dan perlu elak daripada melakukan perkara yang boleh merugikan diri sendiri dan keluarga. - Foto Twitter @saidussyahiran_
KUALA LUMPUR: PADA saat ini, semua rakyat Malaysia berada di dalam keadaan yang tertekan.
Ada yang kehilangan sumber pendapatan, tidak kurang juga yang terpaksa mengikat perut untuk meneruskan kehidupan pada saat getir ini.
Realitinya sekarang, kita dapat lihat, yang senang menjadi susah dan susah makin merana, dek kerana wabak COVID-19 yang mula menular di negara ini awal tahun lalu.
Kita sedar tidak ramai yang berani tampil ke hadapan dan mengaku mereka kini dalam keadaan yang susah, membuatkan mereka memilih untuk mendiamkan diri.
Terkini, rakyat Malaysia tampil dengan satu kempen yang dipanggil #KempenBenderaPutih yang meminta orang ramai yang dalam kesusahan menaikkan bendera putih bagi memaklumkan kepada umum bahawa mereka memerlukan pertolongan.
Daripada gambar yang dikongsi, kebanyakan mereka menyatakan, rakyat yang susah tidak perlu berasa malu dan perlu elak daripada melakukan perkara yang boleh merugikan diri sendiri dan keluarga.
Antara pengguna Twitter, @saidussyahiran_ berkata, dia menyokong penuh kempen ini kerana ia merupakan satu inisiatif yang sangat baik buat mereka yang dalam kesusahan.
Ini antara respon lain pengguna sosial media berkenaan #KempenBenderaPutih
Warganet memohon kepada jiran tetangga yang melihat bendera putih ini agar membantu mereka sebaik mungkin.
Tidak ketinggalan, pengacara terkenal Malaysia, Datuk Aznil Nawawi juga menyokong kempen ini dengan memuat naik status #KempenBenderaPutih di laman Twitternya.
Aznil atau lebih mesra disapa sebagai Pak Nil turut menyatakan langkah ini adalah yang terbaik untuk memberitahu wakil rakyat di kawasan masing-masing supaya datang menghulurkan bantuan.
Kepada anda di luar sana, pada saat getir ini, jangan lakukan perkara-perkara yang tidak membawa manfaat malah merugikan atau memudaratkan diri dan keluarga anda.
Ingatlah, ini bukan pengakhiran, jangan pernah mengalah.
Masih ada yang akan membantu anda, percayalah.