Zaid Ibrahim
KUALA LUMPUR – Parlimen pada dasarnya telah terbubar secara
automatik setelah tidak bersidang selama enam bulan, suatu tempoh dan
pernyataan yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pengamal undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim berkata, ini bermakna
Malaysia perlu mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) dalam masa 60 hari.
Beliau yang merupakan bekas Menteri di
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang) turut menggesa Peguam Negara,
Tan Sri Idrus Harun memberi penjelasan mengenai perkara itu.
“Orang yang sepatutnya beri nasihat kepada Yang di-Pertuan
Agong, kepada Perdana Menteri ialah Peguam Negara, bukan Menteri Undang-Undang
(Datuk Seri Takiyuddin Hassan).
“Peguam Negara tahu perkara diperuntukan dalam Perlembagaan
Persekutuan yang menjelaskan mengenai tempoh sidang Parlimen dan Dewan Rakyat
terbubar secara automatik kalau tidak diadakan persidangan dalam masa tertentu.
“Saya nak tanya Peguam Negara, kalau
kerajaan tidak panggil Parlimen sebelum 1 Ogos ini, bukankah Parlimen itu akan
bubar secara automatik? Adakah rakyat dan negara bersedia untuk adakan PRU?,
katanya menerusi rakaman video, semalam.
Tegas Zaid, kenyataan Takiyuddin bahawa Parlimen hanya akan
kembali bersidang selepas darurat berakhir 1 Ogos ini adalah tidak betul.
Katanya, pandangan menteri itu sangat mengelirukan kerana
Parlimen boleh bersidang dari dahulu lagi, walaupun kerajaan isytiharkan
darurat.
Sebab itu, kata beliau, Perlembagaan
meminta kerajaan yang isytihar darurat bawa perkara itu ke Parlimen untuk
dibahas dan ditetapkan, tidak betul kalau Takiyuddin kata dalam masa darurat
Dewan Rakyat tidak boleh bersidang
“Yang membimbangkan saya, kalau dia kata akan panggil mesyuarat
Parlimen selepas 1 Ogos, selepas darurat berakhir, ia seolah-olah memberitahu
kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa saranan Majlis Raja-Raja Melayu itu tidak
mustahak, tidak penting,” katanya.
Beliau menjelaskan, Menteri Hal Ehwal Undang-Undang bukan
penasihat rasmi kerajaan daripada segi undang-undang, sebaliknya tugasan itu
bawah tanggungjawab Peguam Negara.
“Mungkin sekarang ini ada percanggahan kepentingan, tetapi
apapun masalah dalaman, Menteri Undang-Undang tidak boleh beri nasihat
undang-undang kepada kerajaan kerana mengelirukan.
“Nak elak masalah ini berlaku, ikutlah sahaja cadangan Yang di-Pertuan Agong. Panggillah Palimen bersidang minggu depan. Elakkan daripada automatik Parlimen dibubarkan,” katanya.