Kumpulan perniagaan tak teruja pakej PEMULIH

 


Presiden Persatuan PKS Malaysia, Michael Kang, berkata 40%-50% PKS dijangka menutup atau menutup sementara perniagaan kerana tidak mampu membayar gaji dan sewa.

PETALING JAYA: Bimbang hilang pekerjaan dan perniagaan perlu membayar faedah tertunggak pinjaman sekali gus, antara kebimbangan besar dibangkitkan dua kumpulan perniagaan selepas kerajaan mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) hari ini.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia, Michael Kang, berkata pakej RM150 bilion itu tidak membabitkan jaminan pekerjaan antara PKS yang sedang tenat, bergelut untuk bertahan ketika pandemik Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Satu lagi gabungan pengusaha perniagaan kecil menggelarkan diri mereka Business Survival Group (BSG) berkata, syarat dan peraturan moratorium automatik enam bulan yang ditawarkan masih belum jelas.

Presiden Protemnya Abdul Malik Abdullah berkata, “Kami sedang berjuang untuk mendapatkan moratorium penuh selama ini dan kami gembira akhirnya kerajaan mendengar luahan rakyat, tapi kami bimbang dengan faktor kadar faedah yang akan dikenakan.

“Kami bimbang bank akan mula mengenakan caj faedah terkumpul dan mendesak pembayaran dibuat secara pukal pada 2022, dan peniaga terpaksa membayarnya. Kami juga mahu tahu jika yuran penstrukturan semula dikenakan,” katanya.

BSG adalah kesatuan 262 persatuan perniagaan dan lebih 900,000 ahli perniagaan seluruh negara yang mewakili 3.2% daripada PKS sedia ada di Malaysia.

Moratorium automatik yang diumumkan hari ini diberikan kepada peminjam individu dan usahawan mikro, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Beliau turut mengumumkan lanjutan empat bulan program subsidi upah dan membuang syarat kelayakan gaji bulanan maksimum sebanyak RM4,000 sebulan.

Malik berkata, beliau mengalu-alukan penarikan syarat gaji terhad kepada maksimum RM4,000 kerana ketika PKP banyak perniagaan yang ditutup, tetapi mahu lebih fokus kepada industri seperti hospitaliti dan pelancongan yang bergelut sejak PKP yang dilaksanakan setahun lalu.

“Ia menjejaskan kesihatan mental dan orang semakin murung, tertekan dan membunuh diri. Saya rasa kerajaan merasai apa yang rakyat rasa.

“Kami rasa bersyukur tetapi sekali lagi, sebahagian daripada industri tetap tidak dibenarkan beroperasi jadi lebih penekanan sepatutnya perlu pada hal itu,” katanya.

Awal bulan ini, Persatuan PKS malaysia memberi amaran kira-kira 50,000 atau lebih PKS akan menutup perniagaan jika PKP disambung hingga enam bulan lagi dan sebanyak 100,000 syarikat sudah pun “gulung tikar”.

Kang berkata, pengumuman hari ini oleh Muhyiddin tidak cukup membantu PKS, sambil menyatakan kebanyakan PKS ketika ini “tidak mempunyai pendapatan langsung”.

Beliau juga menjangkakan bahawa sekurang-kurangnya 40-50% PKS akan tutup atau menutup sementara perniagaan pada bulan hadapan kerana tidak mampu membayar sewa dan gaji pekerja.

“Saya harap kerajaan akan melihat dengan serius bagaimana cara untuk membantu PKS menjana pendapatan dan mengekalkan pekerja mereka,” kata Kang.

“Saya bimbang lebih ramai akan hilang kerja. Siapa yang akan menderita jika perniagaan terhenti untuk enam bulan? Pekerja. Adalah baik untuk membenarkan perniagaan kembali beroperasi, atau tutup sementara dan berikan pekerja RM1,000 sebulan, sekurang-kurangnya mereka ada makanan untuk makan,” katanya.