PETALING JAYA: Dua bekas menteri kewangan mahu moratorium pinjaman individu yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dilaksanakan tanpa faedah.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata beliau kecewa dengan pengumuman kerajaan itu manakala Najib Razak berkata masih ada beberapa kekurangan yang perlu ditambah baik.
Dalam catatan di Facebook, Najib berkata institusi perbankan tidak akan rugi satu sen jika melaksanakan moratorium automatik tanpa faedah malah akan mengaut lebih keuntungan.
Beliau yang juga bekas Perdana Menteri menjelaskan peminjam masih perlu menandatangani perjanjian pindaan syarat baharu, menyaksikan tempoh bayaran peminjam bakal dilanjutkan bertahun lagi ekoran tindakan bank tidak mengecualikan sebarang caj faedah.
“Ini adalah antara aduan yang diterima sejak tahun lalu oleh peminjam yang rasa tertipu dengan bank yang mengambil kesempatan dalam kesempitan.
“Sebab itu, Perdana Menteri suruh fikir baik-baik sebelum memohon moratorium ‘automatik’ ini sebab ianya akan tambah komitmen pada peminjam,” katanya.
Mengulas mengenai skim i-Citra yang membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan caruman mereka sehingga RM5,000 dengan bayaran RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan yang hanya dibayar bermula Ogos, Najib berkata, jumlah itu tidak memadai terutama bagi isi rumah M40 kerana hutang sedia ada mereka sudah pun tinggi.
“Perlu ingat bahawa sekiranya bayaran pertama RM1,000 ini dibuat pada 1 Ogos, pemohon terdesak sudah bertahan selama dua bulan 21 hari sejak PKP 3.0 seluruh negara bermula pada 12 Mei.
“Saya percaya ramai akan mempunyai tunggakan komitmen yang lebih besar apabila sampai tarikh 1 Ogos sebab sudah berkurung hampir tiga bulan tanpa pendapatan atau dengan pendapatan yang berkurang,” katanya.
Justeru, beliau mencadangkan skim itu ditambah baik dengan bayaran pertama sebanyak RM2,000 dibuat seawal Julai.
“Bayaran berikutnya sebanyak RM2,000 dibuat pada Ogos dan baki RM1,000 pada September,” katanya.
Adakah Makcik Kiah akan pulih
Sementara itu, dalam catatan di Facebook, Lim meluahkan kekecewaan terhadap jumlah suntikan fiskal sebanyak RM10 bilion bawah inisiatif PEMULIH berjumlah RM150 bilion.
Beliau turut mengkritik pakej bantuan berkenaan yang gagal mengumumkan bantuan subsidi sewa menyeluruh kepada semua peniaga.
Malah, beliau mendesak kerajaan menyediakan lebih banyak geran serta subsidi upah dan utiliti, sambil mempersoalkan sekiranya kontrak pegawai perubatan dan ahli farmasi akan diserapkan kepada jawatan tetap untuk memerangi Covid-19.
“Adakah Makcik Kiah akan pulih daripada ‘total lockdown’ yang tidak berpenghujung ini?,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim berkata bantuan “one-off” sebanyak RM3,000 kepada operator sukan terlalu sedikit, memandangkan perniagaan gimnasium dilaporkan mengalami kerugian lebih RM110 juta sejak Mac tahun lalu.
Mahu lebih banyak bantuan disalurkan kepada sektor sukan, bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu berkata industri berkenaan menyediakan lebih 15,000 peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini, termasuk pelatih, tenaga pengajar dan terapis sukan yang sudah pun hilang punca pendapatan sejak sekian lama.
Ahli Parlimen DAP itu mengulangi gesaannya agar Putrajaya mewujudkan dana tambahan sebanyak RM100 juta bagi menyelamatkan industri sukan, dengan subsidi bulanan sehingga 50% untuk sewa bulanan, atau maksimum RM5,000, kepada perniagaan dalam industri sukan yang terpaksa tutup semasa PKP 3.0.