'Pembentukan jajaran baharu bergantung keputusan Zahid Hamidi' - Abdullah Sani

 

Astro Awani
'Pembentukan jajaran baharu bergantung keputusan Zahid Hamidi' - Abdullah Sani
Abdullah mendakwa, Presiden UMNO itu boleh menggunakan MKT untuk meminta Ahli Parlimen parti itu keluar dari kerajaan PN. - Gambar fail/ Astro AWANI / SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Persoalan sama ada pembentukan jajaran baharu UMNO bersama Pakatan Harapan (PH) boleh berlaku dalam tempoh terdekat atau sebaliknya, bergantung kepada keputusan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ahli Parlimen PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid mendakwa, Presiden UMNO itu boleh menggunakan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk meminta Ahli Parlimen parti itu keluar daripada kerajaan sekiranya tuntutan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar sidang Dewan Rakyat dipanggil dalam tempoh 14 hari tidak dipenuhi.
"Ahmad Zahid boleh mengambil peranan itu. Bagaimanapun saya tidak boleh mencampuri urusan UMNO, tetapi merasai kebertanggungjawaban itu perlu digalas semua pihak.
"Jadi selepas Ahmad Zahid membuat keputusan, maka tidak ada masalah jajaran baharu boleh dibentuk demi negara dan rakyat. Terpulang kepada Ahmad Zahid untuk membuat keputusan, semua bergantung kepada beliau.
"Kita sentiasa bersedia bila-bila masa saja... juga tidak sabar untuk bersama UMNO atau tidak kira siapa sahaja atau mana-mana parti sekalipun termasuk Bebas," dakwanya dalam kenyataan hari ini.
Abdullah sebelum ini melihat kemungkinan kerjasama antara PH dan UMNO pada masa akan datang.
Abdullah berkata, kemungkinan itu sesuatu yang perlu diambil kira, jika UMNO akhirnya keluar daripada Perikatan Nasional (PN).
Dalam pada itu dakwanya, Kerajaan PN akan runtuh sekiranya UMNO mengumumkan penarikan diri.
"Ahmad Zahid juga pada peringkat awal telah menzahirkan bahawa beliau tidak boleh menghalang mana-mana Ahli Parlimen UMNO untuk menyokong sesiapa.
"Kalau sekiranya Ahli-ahli Parlimen UMNO menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim, Alhamdulillah. Kita mengharapkan sedemikian. Apabila Ahmad Zahid menyebut jajaran baharu yang diperkenalkannya, tentulah langkah kepada pembinaan semula dan menyelamatkan negara," katanya.
Ahmad Zahid sebelum ini pernah dilaporkan berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak dapat menghalang Ahli-Ahli Parlimen parti itu untuk mengambil keputusan menyokong Anwar yang berhasrat untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Ini kerana, kata beliau, UMNO dan BN bukan merupakan parti komponen PN.

No comments: