Moratorium lulus sahaja automatik, tapi kena mohon dulu, kata Muhyiddin

 Moratorium lulus sahaja automatik, tapi kena mohon dulu, kata Muhyiddin


Kerajaan inilah yang mula-mula sekali mencadangkan pelaksanaan program i-Lestari, i-Sinar dan moratorium automatik untuk membantu rakyat dalam mendepani cabaran semasa pandemik COVID-19. Kita telah menjadi antara negara terawal di dunia yang memperkenalkan inisiatif seumpama ini.

Alhamdulillah, ia memberi kesan positif dan amat membantu aliran tunai rakyat sehingga kini. Maka dengan itu, bagi meringankan beban kewangan ahli KWSP yangterjejas akibat PKP, KWSP akan memperkenalkan kemudahan pengeluaran baharu iaitu i-Citra. Menerusi i-Citra, seramai 12.6 juta ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga 5 ribu ringgit dengan kadar bayaran tetap 1 ribu ringgit sebulan untuk tempoh lima bulan, tertakluk kepada jumlah simpanan KWSP ahli.

Pelaksanaan i-Citra dijangka dapat menyalurkan 30 bilion ringgit kepada rakyat untuk menampung keperluan harian. Ahli boleh mula memohon kemudahan pengeluaran KWSP di portal dalam talian i-Citra di icitra.kwsp.gov.my mulai 15 Julai 2021, dengan pembayaran pertama dijangka akan dikreditkan dalam akaun ahli pada bulan Ogos 2021.

Hakikatnya ini merupakan keputusan sukar kerana Kerajaan sedar, ini adalah simpanan hari tua rakyat, dan penyelesaian i-Citra mengambil jalan tengah antara keperluan mendesak hari ini, dan pulangan yang wajar bagi ahli ahli KWSP yang tidak memerlukan pengeluaran.

Selanjutnya, saya ingin mengumumkan beberapa inisiatif berkaitan penangguhan bayaran balik pinjaman yang boleh dimanfaatkan oleh semua dalam tempoh yang sukar ini.

Bagi membantu para peminjam pendidikan, sukacita saya umumkan bahawa beberapa agensi Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan penangguhan bayaran balik pinjaman pelajaran antaranya:

Pertama: memberikan moratorium bersasar selama tiga bulan kepada peminjam-peminjam PTPTN;

Kedua: menangguhkan bayaran balik Pinjaman Pelajaran Persekutuan di bawah JPA dan bayaran tuntutan ganti rugi penerima Biasiswa Persekutuan sehingga enam bulan;

Ketiga: menangguhkan bayaran balik Pinjaman Pelajaran MARA untuk tempoh tiga bulan atau penjadualan semula bayaran balik pinjaman dengan ansuran bulanan serendah 100 ringgit selama 12 bulan; dan

Keempat: menangguhkan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) selama tiga bulan.

Nilai keseluruhan inisiatif ini dianggarkan berjumlah 400 juta ringgit dan akan memanfaatkan seramai 1.6 juta rakyat.

Selanjutnya, pemegang polisi insurans dan takaful yang terjejas juga boleh memohon penangguhan pembayaran premium insurans dan sumbangan takaful (secara opt-in) yang akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021.
Inisiatif ini merangkumi pemegang polisi dan sijil insurans hayat dan takaful keluarga. Lebih 1 juta rakyat dijangka memperoleh manfaat daripada pelanjutan ini. Jumlah keseluruhan nilai premium dan sumbangan yang ditangguhkan dianggarkan sebanyak 2.6 bilion ringgit.

Akhir sekali, tentunya berhubung pelaksanaan moratorium bayaran balik pinjaman bank. Semasa pengumuman pakej bantuan PEMERKASA Tambahan, Kerajaan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia dan pihak bank telah melaksanakan inisiatif bayaran balik pinjaman secara bersasar. Setakat ini, lebih daripada 250 ribu peminjam yang layak telah mendapat kelulusan secara automatik. Mereka hanya perlu memilih sama ada untuk mendapatkan moratorium selama 3 bulan atau pengurangan bayaran ansuran sebanyak 50 peratus selama 6 bulan.

Kerajaan faham keresahan rakyat pada masa ini. Ramai yang terjejas dan ini bukanlah melibatkan golongan B40 sahaja. Saya banyak mendengar dan membaca rintihan yang sama daripada golongan M40 dan T20 yang turut mengalami peningkatan tanggungan kerana mereka juga membantu ahli keluarga atau saudara mara yang terjejas akibat COVID-19.

Oleh itu, sukacita saya umumkan, dengan kerjasama pihak bank, moratorium enam bulan akan diberikan kepada semua peminjam individu, sama ada dari golongan B40, M40 atau T20, dan usahawan mikro. Tiada lagi syarat seperti pengurangan pendapatan, tiada semakan sama ada anda telah hilang pekerjaan dan tiada lagi dokumentasi yang perlu dikemukakan untuk permohonan. Anda Cuma perlu memohon dan kelulusan akan diberikan secara automatik. Kemudahan ini juga ditawarkan kepada pengusaha PKS yang terjejas tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank. Permohonan akan dibuka pada 7 Julai 2021. Peminjam hanya perlu memohon dan menandatangani perjanjian pindaan syarat-syarat pinjaman yang berkaitan.

Saya berharap inisiatif moratorium ini dapat sedikit sebanyak membantu peminjam individu dan PKS dalam menguruskan aliran tunai mereka semasa tempoh yang mencabar ini. Walau bagaimanapun, saya juga ingin berpesan gunalah tawaran ini dengan sebaiknya dan jika tidak mendesak, janganlah membuat tambahan komitmen kewangan lain.