Sedar tak sedar, kita sebenarnya telah pun melalui tempoh PKP penuh ini selama 49 hari lamanya.
PKP 3.0 mula dikuatkuasakan pada 12 Mei, disambung dengan apa yang disebut Perdana Menteri sebagai total lockdown mulai 1 hingga 28 Jun dan bermula hari ini pula ia dijenamakan sebagai sebahagian daripada fasa satu PPN atau Pelan Pemulihan Negara.
Tiada tempoh masa diberikan bila fasa satu PPN yang sedang kita lalui ini akan berakhir.
Keseluruhan PPN pula dirangka sebanyak empat fasa semuanya.
Jadinya, dengan angka kes harian Covid19 masih lagi di sekitar 5,000 setiap hari ketika ini dengan kilang-kilang masih banyak bebas beroperasi dan menunggu ke detik fasa keempat tiba, tak usahlah kita nak membayangkan dapat kembali kepada kehidupan normal dalam waktu terdekat ini.
Janganlah juga bermimpi nak menyambut Hari Raya Haji sambil menjenguk keluarga dan ibu bapa yang sudah tua dan mungkin sebahagiannya tinggal bersendirian di kampung halaman.
Dari segi kerajaan, meskipun pemberian moratorium automatik, lanjutan pengeluaran KWSP, bantuan tunai, diskaun letrik, bakul makanan dan pelbagai jenis bantuan telah diumumkan semalam di bawah pakej rangsangan PEMULIH oleh Mahiaddin Md Yasin, hakikatnya semua itu hanya diberikan setelah rakyat melalui kehidupan yang sengsara selama 48 hari lamanya.
Kenapa Mahiaddin dan kerajaan tidak mahu melakukannya lebih awal dan berdolak-dalik sejak sekian lama, meskipun setiap hari rakyat menjerit mengenai kesusahan mereka?
Tidakkah kerajaan sedar rakyat sudah melalui detik sengsara akibat perlaksanaan PKP demi PKP yang bersambung-sambung selama ini sehingga setiap hari ada saja kes bunuh berlaku?
Malah, sebenarnya juga tuntutan moratorium automatik telah pun disuarakan sejak perbahasan Belanjawan 2021 pada November 2020 lagi dengan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz kemudiannya sentiasa saja berdalih untuk memberinya, termasuk dengan mengatakan kerajaan tidak memiliki bank-bank dan tidak boleh sesuka hati memberi arahan kepada mereka.
Mengapa pula sekarang ia boleh dilaksanakan?
Di mana Tengku Zafrul yang dijoloki sebagai wakil bank dan bukan wakil rakyat dalam kerajaan nak letak muka sekarang?
Itu pun apa yang diumumkan oleh Mahiaddin semalam, moratorium yang dikata automatik itu bukanlah sepenuhnya automatik di mana peminjam masih perlu membuat permohonan kepada bank serta menandatangani perjanjian baharu berkaitan syarat-syarat pindaan.
Sekali lagi, di mana sebenarnya keprihatinan kerajaan kepada rakyat dan perasaan ingin menolong mereka, melainkan tetap memberi kelebihan kepada bank mengaut faedah tambahan daripada peminjam?
Mengapa tidak dilaksanakan moratorium yang benar-benar automatik sepertimana PKP 1.0 tahun lalu?
Begitu juga dengan lanjutan pengeluaran KWSP yang kini boleh dilakukan melalui i-citra bagi menggantikan i-lestari dan i-sinar sebelum ini, mengapa hanya setelah bertalu-talu desakan dibuat rakyat, baru ia hendak dilaksanakan?
Inikah juga sebuah kerajaan yang prihatin kepada sengsara dan hidup mati rakyat?
Kenapa kerajaan PN ini umpama pahat dengan penukul, perlu kena ketuk dan kena pukul terlebih dahulu baru mampu bergerak dan berbuat sesuatu?
Bukankah sepatutnya setelah melihat kesusahan rakyat, kemudahan itu diberikan sejak awal lagi tanpa perlu rakyat membuat desakan dan permintaan yang bertalu-talu?
Lagi pula, duit dalam KWSP itu adalah wang pencarum juga, bukannya wang kerajaan pun.
Secara umumnya, khusus berkaitan moratorium, pengeluaran KWSP dan sebagainya, ia bukanlah dilaksanakan kerana kerajaan prihatin kepada sengsara rakyat, tetapi semata-mata kerana desakan demi desakan sudah tidak boleh dielak dan ditahan lagi.
Soalnya, kenapa sampai perlu rakyat membuat desakan tidak berhenti-henti dan memikirkan apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan, barulah ia hendak dijadikan kenyataan?
Apa yang Mahiaddin dan menteri-menteri dalam kerajaan PN yang menerima gaji lumayan puluhan ribu setiap bulan buat dan fikir untuk rakyat selama ini?
Tidak mampukah dengan gaji lumayan yang diterima setiap bulan daripada peluh dan keringat rakyat itu, mereka berfikir sendiri untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat?
Kalau sudah sekian kali asyik rakyat saja yang berfikir bagi pihak kerajaan dan pemimpin tentang apa yang harus mereka lakukan, apa gunanya keberadaan mereka itu di sekeliling kita?
Jawapan mudahnya – kerajaan PN, Mahiaddin dan menteri-menteri yang ada ini memang tidak berguna pun.Adanya mereka bukan boleh diharapkan untuk membantu atau menolong kita, sebaliknya hanya menyusahkan, menambahkan stress dan menyesakkan nafas hidup kita saja.
(ShahbudinHusin 29/06/2021)