Tak perlu ugut kenakan tindakan disiplin pada doktor kontrak lancar mogok, kata Puad

 

FMT Reporters
 -

Puad berkata, terdapat lebih kurang 23,000 doktor berstatus kontrak pada masa ini yang mahu pembelaan dilantik ke jawatan tetap.

PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi menggesa kerajaan membuka rundingan terlebih dahulu berbanding mengenakan tindakan disiplin terhadap doktor kontrak yang dipercayai mahu melancarkan mogok.

Beliau mendakwa terdapat usaha untuk menghalang doktor kontrak terbabit melancarkan mogok itu pada hujung Julai nanti.

“Sekurang kurangnya bagi mereka kemudahan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terlebih dahulu.

“Doktor kontrak adalah sebahagian daripada ‘frontliner’ yang tidak kenal erti penat. Mari kita sokong perjuangan mereka,” katanya di Facebook.

Beliau berkata demikian berikutan laporan portal Malaysiakini yang memetik sumber yang mendakwa sekumpulan pegawai perubatan kontrak dari Hospital Sultanah Nur Zahirah di Terengganu memaklumkan mereka berisiko berdepan tindakan disiplin sekiranya menyertai mogok itu.

Menurut mereka mesej itu disampaikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu Dr Saifur Rahman Muhammad kepada kira-kira 40 pegawai perubatan kontrak yang menghadiri libat urus selama satu jam di auditorium hospital itu semalam.

Dalam pada itu Puad berkata, terdapat lebih kurang 23,000 doktor berstatus kontrak masa ini yang mahu pembelaan dilantik ke jawatan tetap.

“Kalau ‘dentist’, guru, polis, pegawai tadbir dan diplomatik (PTD), imigresen dan lain lain boleh dilantik ke jawatan tetap, kenapa tidak mereka?

“Isu ini sudah bertahun. Tiada penyelesaian. Lebih setahun mereka jadi ‘frontliner’ tanpa rehat. Maka langkah mogok adalah wajar jika kerajaan PN pekak telinga.

“Jangan jadikan ‘timing’ dan pandemik sebagai alasan. Mereka bukan tuntut untuk jadi kaya,” katanya.

No comments: