SELAIN PKP PENUH YANG DISERTAI BANTUAN MENYELURUH, IA ADALAH KEGAGALAN DAN LEBIH WAJAR MAHIADDIN LETAK JAWATAN

 

Petang ini Majlis Keselamatan Negara atau MKN yang dipengerusikan Mahiaddin Md Yasin akan mengadakan mesyuarat untuk membuat keputusan sama ada mahu melaksanakan PKP penuh sekali lagi atau pun tidak.

Jika PKP penuh dilaksanakan, ini bermakna ia adalah kali kedua dilaksanakan dengan kali pertama pada 18 Mac 2020 yang lalu.

Dua kali PKP kemudiannya iaitu PKP 2.0 dan PKP 3.0 bukanlah PKP penuh, sebaliknya adalah PKP separuh masak di mana banyak sektor ekonomi, termasuk pusat membeli belah masih lagi dibenarkan beroperasi.

Begitu juga kilang-kilang dan pusat judi Genting Highlands masih lagi dibuka untuk dikunjungi sewaktu PKP 2.0 dan PKP 3.0 yang separuh masak itu.

Tetapi, dengan peningkatan kes Covid19 yang terus berlaku sekarang ini, adalah jelas PKP 2.0 dan PKP 3.0 yang separuh masak itu telah gagal membendung penularan wabak.

Begitu juga dengan penguatkuasaan perintah darurat sejak Januari lalu, walaupun ia diwar-warkan untuk memerangi Covid19, ternyata ia turut sama gagal.

Darurat hanya berjaya mempertahankan kuasa Mahiaddin semata-mata.

Dengan kegagalan itu, banyak pihak kini menuntut kerajaan melaksanakan PKP penuh sekali lagi, sama ada selama 21 hari atau sebulan dengan keyakinan ia merupakan langkah paling berkesan memutuskan rantaian merebaknya virus Covid19.

Walaupun desakan itu telah muncul sejak tiga empat hari yang lalu, namun MKN hanya akan bermesyuarat pada petang ini bagi memutuskan perkara tersebut.

Kelewatan bermesyuarat ini sebenarnya merupakan satu lagi petanda kegagalan Mahiaddin dan kerajaan PN, sepatutnya bila berlaku hal kecemasan seperti sekarang, mesyuarat MKN harus segera diadakan dua tiga lalu tanpa perlu berlengah lagi.

Kenapa baru petang ini baru MKN hendak bermesyuarat, apakah Mahiaddin sebagai Perdana Menteri tidak cemas dengan angka kes yang kian meningkat itu?

Apa yang semua pihak harapkan sekarang, melihat peningkatan kes yang begitu ketara, selain kemunculan varian-varian baru yang lebih bahaya, ialah agar kerajaan segera melaksanakan PKP penuh sekali lagi.

Tetapi, PKP penuh yang dikehendaki itu bererti semua sektor mesti ditutup dan semua rakyat mesti duduk di rumah selama 21 hari atau sebulan bagi mengelak penularan atau jangkitan Covid19.

Sudah tentu, dalam keadaan ini, PKP penuh itu wajib disertai dengan kerajaan mesti memberi bantuan yang menyeluruh kepada semua rakyat, baik dari segi kewangan, makanan dan lain-lain keperluan hidup mereka sepanjang tempoh tersebut.

Melaksanakan PKP penuh tanpa memberi bantuan menyeluruh kepada rakyat, termasuk moratorium automatik, adalah satu lagi petunjuk kegagalan buat kerajaan dan Mahiaddin.

Melaksanakan PKP penuh tanpa bantuan menyeluruh kepada rakyat sama saja keadaannya dengan tindakan melaksanakan PKP separuh masak seperti yang ada sekarang.

Ini kerana melaksanakan PKP penuh tanpa bantuan akan menyebabkan ramai yang mati kebulur tak makan, manakala meneruskan lagi PKP separuh masak pula akan mengakibatkan angka kematian kerana Covid19 terus meningkat.

Lebih buruk, dengan PKP separuh masak diteruskan, kita mungkin terus berdepan dengan sekian banyak PKP lagi selepas ini.

Sebab itu PKP penuh yang ketat seketat-ketatnya adalah diperlukan untuk membendung wabak bahaya ini.

Begitu juga, jika petang ini Mahiaddin tidak berani melaksanakan PKP penuh lantaran terlalu memikirkan kesan ekonomi atau kerana tidak mampu atau enggan memberi bantuan menyeluruh kepada rakyat, ia juga suatu kegagalan buat beliau dan kerajaan yang dipimpinnya.

Tindakan tersebut membawa erti melindungi nyawa rakyat bukan suatu keutamaan buat kerajaan, walhal jika rakyat mati, ekonomi dan negara pun akan turut mati kemudiannya.

Maka, melaksanakan PKP penuh yang diikuti dengan memberi bantuan menyeluruh kepada semua rakyat berdasarkan kad pengenalan adalah satu-satunya pilihan terbaik buat masa ini.

Selain daripada itu, ia adalah kegagalan yang tidak boleh dimaafkan dan lebih wajar Mahiaddin meletakkan jawatan atas ketidakmampuannya.

Satu sen pun dirasakan tidak berguna keberadaannya sebagai Perdana Menteri buat kita semua. 


(ShahbudinHusin 21/05/2021)




No comments: