-
May 21, 2021
Pemuda Pakatan Harapan meminta AS memantau dan memastikan rejim
Zionis mematuhi perjanjian gencatan senjata dengan Hamas. (Gambar Bernama)
PETALING
JAYA: Pemuda Pakatan Harapan (PH) menyeru Amerika Syarikat (AS) menghentikan penjualan
senjata api dan pemberian dana ketenteraan kepada Israel.
Tuntutan
itu terkandung dalam memorandum berhubung konflik antara Palestin dan Israel
yang dikemukakan sayap gabungan pembangkang itu kepada Kedutaan Amerika
Syarikat (AS) di Kuala Lumpur hari ini.
Ketua
Pemudanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, mereka turut menggesa Washington
menyemak semula hubungannya diplomatiknya dengan Tel Aviv.
Katanya,
rekod menunjukkan kerajaan AS menyalurkan dana sebanyak USD3.8 bilion setiap
tahun kepada rejim Zionis.
“Kami
berdiri teguh bersama resolusi yang dicadangkan di Dewan Senat AS oleh Senator
Bernie Sanders bahawa kerajaan AS perlu menghentikan rancangan menjual senjata
sebanyak USD735 juta kepada Israel,” katanya pada sidang media di luar Kedutaan
AS hari ini bersama 10 wakil Pemuda PH.
“Kami
mendesak kerajaan AS, terutamanya Presiden Joe Biden membuktikan kepada rakyat
Amerika dan dunia ini bahawa kepemimpinannya sememangnya percaya dan
mempertahankan hak asasi manusia dan semua nyawa penting, tidak kira
#BlackLivesMatter atau #PalestineLivesMatter.”
Shazni
berkata, pihaknya menyambut baik gencatan senjata antara Israel dan Hamas yang
sepatutnya berlaku lebih awal, bukannya selepas lebih 200 warga Palestin
terkorban.
Tetapi,
mereka mahu AS memantau dan memastikan rejim Zionis mematuhi perjanjian itu.
“Israel mempunyai kecenderungan melanggar perjanjian gencatan
senjata seperti yang berlaku pada 2014,” katanya.
Beliau turut menyifatkan serangan udara Israel yang menyebabkan
ramai warga Palestin terbunuh sebagai sejenayah perang dan melampaui batas
kemanusiaan.
Gencatan senjata yang bermula 2 pagi waktu tempatan itu, dicapai
selepas Hamas dan Israel menerima cadangan Mesir untuk menamatkan keganasan
rejim Zionis selama 11 hari.