Anwar bidas Hisham tak hadir sesi khas PBB bincang konflik Palestin-Israel

 


FMT


Anwar Ibrahim menuntut penjelasan penuh Kementerian Luar berhubung ketidakhadiran Hishammuddin Hussein di sidang khas Perhimpunan Agung PBB.

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim kesal dengan Menteri Luar, Hishammuddin Hussein yang tidak menghadiri sesi khas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk membincangkan konflik berterusan antara Palestin dan Israel.

Mesyuarat khas itu sedang berlangsung di New York.

Anwar berkata, beliau kecewa dengan Hishammuddin yang sebaliknya menghantar wakil Malaysia sebagai penggantinya ke mesyuarat PBB itu.

“Saya menuntut penjelasan penuh daripada Kementerian Luar,” katanya di Twitter malam tadi.

Beliau berkata, rakan sejawatan Hishammuddin dari negara lain seperti Turki, Pakistan dan Indonesia dilaporkan berada di New York untuk sesi khas itu.

Konflik terbaru di Semenanjung Gaza memasuki hari ke-11.

Menurut laporan, 230 warga Palestin terkorban, termasuk 65 kanak-kanak dan 39 wanita, dengan lebih 1,7000 orang cedera dalam serangan udara sejak konflik itu bermula 10 Mei lalu.

Pihak berkuasa Israel pula melaporkan 12 orang meninggal dunia di negara itu, dengan 336 lagi cedera.

 


No comments: