VAKSINASI TERLALU LAMBAT, KERAJAAN NEGERI HARUS DIBENAR BELI VAKSIN SENDIRI

 

Malaysia adalah sebuah negara Persekutuan. Perlembagaan Malaysia juga dipanggil Perlembagaan Persekutuan. Dalam Senarai III iaitu Senarai Bersama Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan di bawah butiran No.7 disenaraikan bahawa Kesihatan awam dan pencegahan penyakit adalah dalam kuasa Kerajaan Persekutuan dan juga Kerajaan-kerajaan negeri.

Oleh yang demikian, saya Hassan Abdul Karim, Ahli Parlimen Pasir Gudang mendesak Kerajaan Persekutuan supaya memberi kebenaran kepada kerajaan-kerajaan negeri berusaha mendapatkan vaksin untuk rakyat mereka.

Hal ini perlu atas beberapa sebab mendesak.

Pertama Kerajaan Persekutuan yang diperintah oleh Perikatan Nasional terlalu lambat dalam melaksanakan program vaksinasi bagi seluruh negara.

Dengan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri, program vaksinasi itu dapat dipercepatkan.

Sebab kedua ialah kerana jumlah jangkitan kes baharu Covid-19 telah naik dengan mendadaknya dalam beberapa hari ini.

Contohnya, pada hari ini sahaja 20 Mei 2021 jumlah kes baru direkodkan adalah sebanyak 6,806, melebihi paras enam ribu.

Walaupun negara berada di dalam Darurat dan Parlimen digantung tetapi Kerajaan Persekutuan perlu menyedari bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak digantung.

Jadi saya mendesak supaya sistem monopoli dalam kawalan penawaran vaksin ini tidak ditentukan dan dikuasai oleh Kerajaan Persekutuan sahaja. Kuasa kerajaan-kerajaan negeri perlu dihormati.

Hassan Abdul Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang

20 Mei 2021 (Khamis)


No comments: