Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menyeru umat Islam
supaya bangkit memperjuangkan rakyat Palestin yang diserang oleh tentera Israel
ketika ini.
Beliau berkata, umat Islam wajar berdoa agar warga Palestin selamat daripada kezaliman Israel.
"Amat penting untuk meneruskan berdoa, menitipkan bantuan kecemasan yang mampu kerana teman seperjuangan Islam sedang teruk diserang oleh tentera zionis Israel.
"Permulaan Israel menceroboh Masjid al-Aqsa tidak menemui kesudahannya, ramai nyawa yang terkorban, ini satu keganasan.
"Kita bayangkan warga Gaza yang dinafikan bekalan elektrik, makanan mencukupi dan bahaya pandemik Covid-19 tetapi terus dilayan secara apartheid dan dinafikan hak mereka.
"Malah, kekuatan kenegaraan mahkamah Israel menghalalkan pencerobohan terhadap rumah yang dimiliki warga Palestin," katanya.
Justeru, Nurul Izzah berharap umat Islam dapat memainkan peranan dengan memberikan sumbangan kepada Palestin.
"Saya mahu kita semua bangkit, berdoa dan berikan sumbangan kepada Palestin menerusi banyak organisasi bertauliah.
"Kita kena faham, kita perlu bersatu-padu atas nama keadilan, pelanggaran ini tidak akan dipaparkan di banyak media antarabangsa, jadi saya harap kita tularkan berita terkini.
"Mungkin kita rasa pandemik ini mencabar tetapi ada ramai lagi umat Islam sedang bergelut dengan krisis hidup dan mati.
"Kita perlu tekadkan iman, kita lakukan sedaya mungkin, jangan lupa mendoakan keselamatan mereka, memohon kepada Allah supaya membantu mengakhiri kezaliman ini," katanya.