Mat Sabu, Liew hairan Ismail salahkan PH dalam isu projek LCS

 

Mat Sabu dan Liew berkata, kelewatan bermula sejak tahun 2015 lagi, dan berpunca daripada reka bentuk terperinci yang sehingga hari ini belum dimuktamadkan. (Bernama pic)

PETALING JAYA: Bekas menteri pertahanan, Mohamad Sabu dan bekas timbalannya, Liew Chin Tong membidas tindakan Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri yang menyalahkan Pakatan Harapan (PH) sebagai punca masalah pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS).

Menerusi kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pemimpin Pakatan Harapan itu juga hairan mengapa kenyataan berhubung isu itu tidak lagi dapat dikesan dalam laman web Kementerian Pertahanan.

“Apabila kerajaan PH mengambil tampuk kuasa, Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan, dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang diketuai oleh Amrin Buang telah ditubuhkan untuk menyiasat permasalahan dalam perolehan pertahanan. Siasatan telah diarahkan oleh Kabinet.

“Tanggapan Ismail, siasatan merupakan punca kelewatan projek langsung tidak tepat dan mencerminkan sikap kerajaan PN yang ambil mudah tentang integriti. Sebaliknya, apa-apa kelewatan yang dialami projek tersebut berpunca daripada ketidakcekapan dan ketiadaan integriti kerajaan Umno-Barisan Nasional itu sendiri,” kata mereka.

Jelas mereka lagi, kelewatan bermula sejak tahun 2015 lagi, dan berpunca daripada reka bentuk terperinci yang sehingga hari ini belum dimuktamadkan serta masalah kecairan kewangan BNS yang sedikit sebanyak terhasil daripada penyelewengan kewangan projek dan pengurusan projek yang tidak cekap.

Kata mereka, hanya melalui siasatan JKSTUPKK, barulah kerajaan PH dapat menemui punca kelewatan.

Semalam, Ismail berkata dakwaan Mohamad kononnya keputusan kerajaan meneruskan pembinaan LCS lebih kepada mahu menyelamatkan serta menjamin kepentingan kontraktor hanyalah satu provokasi politik tidak matang.

Ismail berkata, sebaliknya punca permasalahan LSC berlaku adalah kerana kegagalan kerajaan PH membuat keputusan cekap berhubung status projek tersebut pada waktu itu.

Mohamad dan Liew sebelum ini mempersoal keputusan kerajaan meneruskan LCS sambil mendakwa ia lebih bertujuan menyelamatkan serta menjamin kepentingan kontraktor dan subkontraktor Boustead Naval Shipyard (BNS), bukannya bagi memastikan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mendapat bilangan kapal tempur yang menepati keperluan semasa.

Mereka turut mempersoalkan status dana berjumlah RM1 bilion yang telah hilang daripada akaun projek tersebut.

Dalam pada itu, kedua-dua pemimpin PH itu turut mengesyorkan supaya Ismail menerbitkan semua laporan JKSTUPKK mengenai projek LCS dan membiarkan perkara itu dinilai sendiri oleh rakyat

Kata mereka, siasatan JKSTUPKK turut mendapati RM1 billion antara RM6 billion yang telah disalurkan kepada pembina telah hilang dan tidak dapat dikesan lagi.

“Disyaki unsur rasuah telah berlaku. Masalah “vendor-driven”, rasuah dan penyelewengan dalam projek LCS berlaku semasa Najib Razak, Zahid Hamidi dan Hishamuddin Hussein sebagai Menteri Pertahanan dan Umno memerintah.

“PH hanya cuba membersihkan dan membaiki keadaan. Siasatan JKSTUPKK mencadang projek diteruskan dengan kepentingan TLDM sebagai pertimbangan yang paling utama, syarat yang ketat dikenakan supaya tidak lagi ada penyelewengan, dan siasatan atas kehilangan RM1 billion dilakukan serta merta,” katanya.

Kata mereka, semua cadangan JKSTUPKK diterima oleh Kementerian Pertahanan dan juga bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad pada 11 Februari lalu.



No comments: