Patut Redzuan yang “cermin diri,” bukan Wan Saiful, kata pemimpin Bersatu

 

Setiausaha Penerangan Bersatu, Hishamuddin Abdul Karim menyifatkan tindakan Mohd Redzuan Yusof sebagai melampau.

PETALING JAYA: Perbalahan dalaman Bersatu dilihat kian serius dengan seorang pemimpin Bersatu menyuruh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti, Mohd Redzuan Yusof “cermin diri” sebelum mengkritik Ketua Penerangan Wan Saiful Wan Jan.

Setiausaha Penerangan Bersatu, Hishamuddin Abdul Karim berkata Redzuan bertindak melampau apabila menempelak Wan Saiful kerana mengkritik Dr Mahathir Mohamad yang menuduh pemimpin Bersatu sebagai hanya mementingkan wang, bukan perjuangan.

Hishamuddin berkata tindakan Redzuan mempertahankan Mahathir menggambarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) itu menganggap bekas perdana menteri itu tidak boleh dikritik langsung, kebal dan sempurna.

“Adakah Redzuan akan menempelak kepemimpinan Bersatu termasuk Presiden parti,Muhyiddin Yassin, timbalan presiden dan naib-naib presiden jika mereka (juga) mengkritik Mahathir?” katanya yang juga ketua penerangan Bersatu Melaka.

Beliau menegaskan teguran Wan Saiful dalam menjawab dakwaan Mahathir adalah selaras dengan tugasnya sebagai ketua penerangan Bersatu bagi memastikan ahli parti mendapat maklumat tepat.

“Kenapa beliau (Redzuan) pula yang begitu terasa hingga sanggup menempelak Wan Saiful dan kenyataannya itu disiarkan oleh media?

“Saya cadangkan agar Redzuan sendiri mencerminkan dulu dirinya sebelum menyuruh orang lain berbuat demikian,” kata beliau.

Terdahulu Redzuan menuntut Wan Saiful supaya “cermin diri” dan lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan menyerang Mahathir.

Redzuan berkata, Wan Saiful bukan barisan pengasas Bersatu malah keahliannya juga diluluskan Mahathir ketika beliau memimpin parti itu.

“Beliau (Wan Saiful) seharusnya mencerminkan diri sebelum mengeluarkan kenyataan yang bakal mengundang kemarahan pengasas-pengasas awal di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Wan Saiful menolak dakwaan Mahathir bahawa ada pemimpin Bersatu sanggup bersama Pejuang jika ditawar imbuhan lumayan sehingga RM70,000 sebulan.

Mahathir menubuhkan Pejuang selepas keluar Bersatu tahun lalu.

Wan Saiful menggesa bekas perdana menteri itu berhenti menjadi “jurucakap” soal dalaman Bersatu dan sebaliknya memberi fokus kepada Pejuang sendiri.


No comments: