MP disogok, agensi kerajaan dipergunakan kerana PN sudah hilang majoriti

 



POSTED BY AMIR WRLR


Datuk Seri Anwar Ibrahim terus-terusan mengecam tindakan Perikatan Nasional (PN) yang menyogok beberapa ahli Parlimen dan mempergunakan agensi penguatkuasa kerajaan untuk terus kekal berkuasa.



Presiden KEADILAN itu menganggap, tiada sebab lain untuk kerajaan PN berbuat demikian melainkan mereka benar-benar sudah kehilangan majoriti.



"Kenapa sesetengah pemimpin menggunakan pendekatan merasuah, mengugut dan mempergunakan agensi penguatkuasa kerajaan untuk cuba mendapatkan sokongan satu atau dua ahli Parlimen, ini kerana mereka sudah terdesak kerana mereka tahu mereka sudah kehilangan majoriti.



"Tetapi dalam soal ini sekalipun, tidak perlulah sehingga mengganggu dan mengancam mereka hanya kerana sudah kehilangan majoriti. Ini langsung tidak bermoral, tidak beretika dan tidak mengikut undang-undang sama sekali," katanya.



Justeru, Anwar menggesa agensi kerajaan supaya tidak tunduk kepada arahan yang bermotifkan politik semata-mata.



"Saya menyeru supaya agensi kerajaan untuk tidak memberikan kerjasama. Agensi kerajaan mestilah bersikap profesional dalam tugas mereka tidak kira jika ia melibatkan ahli politik dari kerajaan atau pembangkang.



"Ramai pemimpin yang sudah korup, mempergunakan tempoh darurat untuk mendapatkan tender yang memanfaatkan keluarga dan kroni mereka," katanya.



Pada masa sama, Anwar menegaskan penambahan sokongan ahli Parlimen terhadap PN tidak semestinya mereka memiliki majoriti.



"Kehilangan dua sokongan kepada kami tidak bermakna ia menambah sokongan kepada mereka, kehilangan ini tidak menambah kepada bilangan majoriti mereka, ini perkiraan yang cukup mudah jika mahu mengetahui berapa sebenarnya jumlah sokongan PN," katanya.



"Macam dalam isu darurat dan penggantungan Parlimen, saya mendedahkan bahawa 115 daripada 220 membantah. Jadi dalam isu spesifik sebegini pun kerajaan sudah hilang majoriti," katanya.

 

No comments: