Gerak kerja ukur kekuatan sebenar Pemuda PH

 


Oleh: Danish Hairudin



Pemuda Pakatan Harapan (PH) teragak-agak dalam membuat lantikan ketua pemudanya yang baharu setelah tumbang sejak setahun yang lalu.



Apakah kerangka gerak kerja Pemuda PH dalam mengembalikan semula mandat rakyat? Usah berbicara soal berentap dalam Pilihan Raya Umum (PRU) mahupun mengembalikan mandat rakyat yang agak lemah digerakkan dalam usaha mengembleng seluruh kekuatan pemuda di peringkat nasional.

Dalam setiap peperangan dan pertempuran, sudah pasti ada seorang komander yang dilantik bagi memastikan kemenangan dicapai melalui “command” dan susun atur gerak kerja yang tersusun.



Garap kekuatan hadapi lawan



Apakah signal yang cuba disampaikan oleh komponen Pemuda PH dengan melantik Saudara Shazni Munir sebagai Ketua Pemuda Pakatan Harapan?



Atas kapasiti apa beliau diangkat untuk memimpin Pemuda PH di peringkat nasional? Beliau bukan seorang Ahli Parlimen mahupun ADUN. Beliau hanya dilantik selepas Ketua Pemuda Amanah, ADUN Titi Serong YB Hasnul Zulkarnain keluar parti. Bukan untuk menidakkan keupayaan beliau tetapi sekadar menanyakan keupayaannya menggarap kekuatan pemuda mendepani parti lawan.



Sejurus kejatuhan Kerajaan PH, Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, YB Akmal Nasir seharusnya mengatur langkah untuk menunjukkan keupayan memimpin pemuda PH di peringkat nasional atas kapasiti beliau sebagai Ahli Parlimen. Ketua Pemuda PH merupakan satu posisi yang sangat penting dalam memastikan Pemuda bergerak seiringan dengan Pengerusi PH dalam memastikan agenda reformasi terus menjadi tunjang utama PH.



Keputusan YB Akmal Nasir yang tidak memposisikan diri untuk mengepalai Pemuda PH di peringkat nasional agak mengecewakan akar umbi AMK selepas sokongan dan dokongan ahli AMK di setiap negeri mengangkat Akmal sebagai Ketua AMK Malaysia. Atas kapasiti beliau sebagai Ahli Parlimen sudah pasti banyak peranan boleh dimainkan dalam memastikan pemuda sentiasa kehadapan menjuarai isu rakyat.



Perkukuhkan AMK



Bagaimanapun, penulis menyambut baik keputusan YB Akmal untuk memberi fokus kepada pengukuhan AMK kerana selepas setahun kejatuhan PH, sayap pemuda masih lagi kelihatan lembab dan gagal menggarap segenap kekuatannya di seluruh negara. Penulis yakin dan percaya kekuatan AMK di setiap negeri jauh lebih hebat berbanding dengan parti kawan mahupun lawan jika kesepakatan dalam kalangan sayap disulami semangat dan iltizam untuk menumbangkan pengkhianat dan membawa agenda reformasi tulen.



Mengepalai anak muda perlu mempunyai roh dan jiwa sebagai seorang pejuang. Seorang pejuang perlu berada di barisan paling hadapan dalam mendepani musuh. Kelantangan menegakkan hak dan menentang serta melenyapkan yang batil. Mempertahankan agenda reformasi yang dibawa oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan Pengerusi PH dan Presiden KEADILAN adalah menjadi tunjang utama sebagai seorang pemimpin muda.

_________________________________________________________________________________



Penulis merupakan Setiausaha Politik Ahli Dewan Negeri Selangor N.48 Sentosa dan juga anggota KEADILAN Cabang Kota Raja

 

No comments: