Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyeru semua wanita di
seluruh negara supaya 'Bangkit Mendepani Cabaran' yang dijadikan tema Hari
Wanita Sedunia tahun ini.
Sebagai bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,
beliau menganggap wanita masih menghadapi cabaran ketidakadilan gender, satu
isu lama yang masih belum diselesaikan sehingga ke hari ini, malah terpaksa
menghadapi cabaran norma baharu.
"Bagi kebanyakan ibu bekerja, bertugas dari rumah disebabkan
oleh wabak Covid-19 bermakna mengimbangi kerjaya, mengambil tahu hal suami yang
bekerja dari rumah dan menjaga kanak-kanak yang belajar juga dari rumah.
"Suri rumah mestilah menyesuaikan diri dengan perubahan ini
dengan maju bersama teknologi bagi membantu dan memantau anak-anak mereka.
"Wanita mencabar norma biasa demi membawa perubahan untuk
yang lebih baik. Wanita juga berupa petugas barisan hadapan," katanya.
Pada masa sama, Wan Azizah berpandangan norma baharu juga telah
memaksa wanita menghadapi cabaran kehidupan keluarga dan kerja bila mana wabak
ini telah memisahkan mereka daripada yang tersayang.
"Ada juga wanita yang telah terkorban dalam memerangi wabak
ini.
"Dalam kita meraikan wanita dan menghargai kejayaan mereka,
jangan pula kita lupa meningkatkan kesedaran mengenai ketidakadilan yang
berlaku terutamanya terhadap wanita.
"Ini termasuklah penderaan domestik pada saat norma baharu
boleh menyebabkan kekecewaan, putus asa dan juga serangan terhadap kesihatan
mental," katanya.
Justeru, Wan Azizah menegaskan bahawa kerajaan mestilah komited ke
arah menggubal undang-undang yang mempertahankan wanita.
"Undang-undang ini telah digubal dan dibincangkan tetapi
masih belum dibawa ke Parlimen untuk diluluskan, apa lagi untuk diamalkan.
"Marilah kita berjuang untuk wanita, yang juga merupakan sama
ada ibu, isteri, kakak atau adik perempuan, anak perempuan mahupun sahabat
kita. Kita pilih untuk mencabar dan membawa perubahan untuk dunia yang lebih
inklusif dan lebih baik," katanya.